Aktiviti kritik mengkritik adalah tidak produktif, yakni kritikan tidak menghasilkan idea-idea baru yang original dan yang lebih baik dibandingkan dengan idea yang dikritik itu.
Bagi menerangkan prinsip ini, katakanlah kita mengkritik pelbagai kelemahan kereta yang berteknologi lembu, yakni kereta lembu. Dengan mengkritik kereta lembu kita dapat memperbaiki kereta lembu itu, dan menghasilkan kereta lembu yang lebih baik. Namun, kritikan-kritikan terhadap kereta lembu itu tidak menghasilkan idea kereta berteknologi piston, kerana idea piston bukan dicipta dengan memperbaiki kelemahan lembu.
Nabi Muhammad pernah menolak idea-idea yang dikemukakan kepada beliau. Meskipun idea-idea itu ditolak, beliau sama sekali tidak mengkritik idea-idea itu. Beliau tidak menerangkan kelemahan dan kesilapan idea-idea yang ditolaknya. Beliau diam sahaja, yakni beliau tidak mendedahkan kepada pengetahuan orang-orang lain alasan beliau menolak idea-idea itu.
Seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Abdullah bin Umar melaporkan, semasa orang-orang Islam dari Mekah baru tiba di Madinah, mereka semua berkumpul sementara menunggu masuknya waktu sembahyang. Pada masa itu belum ada apa-apa cara memanggil orang supaya bersembahyang. Disebabkan keadaan itu, pada suatu hari mereka berbincang berkenaan perkara tersebut. Ada antara mereka yang berkata, “Gunakan loceng macam orang-orang Kristian.” Ada pula yang berkata, “Gunakan trompet daripada tanduk, macam orang-orang Yahudi.” Lalu Umar berkata, “Bagaimana kalau saudara-saudara suruh seorang lelaki supaya melaungkan panggilan sembahyang?” Nabi Muhammad pun berkata, “Wahai Bilal, berdirilah, dan laungkan panggilan sembahyang.” -- Hadith No. 190 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.
Dalam amalan lazim, kegiatan mengkritik idea orang lain menjadi aktiviti yang popular di kalangan golongan pandai, kerana melainkan kita pandai kita tidak berupaya mengkritik idea-idea orang lain dengan mengemukakan hujah dan dalil yang persuasif. Ini kerana kemahiran mengkritik hanya dapat dilakukan apabila kita mahir berfikir secara kritikal di mana kita perlu menerangkan semua yang salah dan tidak betul yang ada pada idea-idea orang itu. Namun, selepas mengeluarkan pelbagai hujah dan alasan, sang pengkritik tidak juga dapat mengemukakan idea-idea original yang lebih baik (setaraf dengan idea piston).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan