Nabi Muhammad seorang yang banyak memberi pujian dan pengiktirafan kepada orang-orang yang ada di sekeliling beliau. Beliau memberi pujian kepada semua orang yang layak menerima pujian, daripada orang-orang yang sangat akrab dengan beliau sehingga kepada orang-orang yang beliau tidak kenali sebelumnya.
Salah seorang sahabat Nabi Muhammad yang pernah beliau puji adalah Zubair bin Awam.
Di bawah ini adalah catatan dalam rekod sejarah bagaimana Nabi Muhammad memberi pujian kepada Zubair:
Sahabat Nabi Muhammada yang bernama Jabir bin Abdillah melaporkan bahawa pada hari berlakunya Perang Khandaq, Nabi Muhammad telah mengumumkan panggilan perang, lalu Zubair bin Awam menyahut panggilan perang itu. Selepas itu, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awwam menyahut panggilan itu. Kemudian, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awwam menyahut panggilan itu. Lalu Nabi Muhammad berkata, “Sesungguhnya, tiap-tiap nabi mempunyai pembela, dan pembela saya adalah Zubair.” - Hadith nombor 1643 dalam kitab Ringkasan Sohih Muslim
1. Gelaran yang diberikan oleh Nabi Muhammad kepada Zubair adalah berdasarkan peranan yang dimainkan oleh Zubair, yakni beliau telah 'membela' Nabi Muhammad. Gelaran itu adalah sebagai menghargai peranan yang dimainkan oleh Zubair, yakni sebagai 'pembela' beliau.
2. Nabi Muhammad memberikan gelaran 'pembela' kepada Zubair serta-merta, yakni sebaik-baik Zubair mengulangi perbuatan baiknya sebanyak 3 kali iaitu Zubair menyahut panggilan perang oleh Nabi Muhammad.
3. Nabi Muhammad tidak menyatakan pujian itu kepada Zubair secara peribadi dengan berkata, "Saudara adalah pembela saya." Gelaran itu diberikan dengan cara diumumkan kepada orang ramai yang kebetulan ada di tempat itu dan mereka semua menyaksikan perbuatan baik yang dilakukan oleh Zubair pada peristiwa itu.
4. Nabi Muhammad menyebutkan dahulu keistimewaan gelaran yang akan diberikannya kepada Zubair dengan berkata, “Sesungguhnya, tiap-tiap nabi mempunyai pembela...."
5. Gelaran itu diberikan di tempat kejadian.
6. Gelaran itu diberikan semata-mata dengan ucapan, tanpa diberikan simbol-simbol lain seperti pedang, pakaian dan lain-lain simbol.
7. Nabi Muhammad menyebut nama 'Zubair' sahaja, bukan nama penuhnya 'Zubair bin Awam'.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan