Sebagai Kaunselor: Teknik Nabi Menghibur Orang yang Kematian

Nabi Muhammad adalah seorang kaunselor.

Dalam rekod sejarah ada catatan peristiwa bagaimana Nabi Muhammad menghiburkan hati seorang anak muda yang baru kematian ayahnya dan menanggung tekanan.

Jabir bin Abdullah melaporkan dia pernah terjumpa dengan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Wahai Jabir, mengapa saya lihat saudara dalam keadaan tidak bersemangat?” Jabir menjawab, “Wahai Rasul Allah, ayah saya telah mati syahid. Dia terbunuh semasa Perang Gunung Uhud dengan meninggalkan keluarga dan hutang.” Nabi Muhammad berkata, “Mahukah saudara saya beritahu khabar gembira tentang ayah saudara yang akan berjumpa dengan Allah?” Jabir menjawab, “Mahu, wahai Rasul Allah.” Nabi Muhammad berkata, “Allah tidak pernah bercakap dengan sesiapa pun, melainkan dari balik tabir. Allah akan menghidupkan semula ayah saudara, dan Allah akan bercakap kepadanya tanpa ada tabir.
- Hadith No. 3010 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi

Dalam peristiwa di atas teknik Nabi Muhammad menghiburkan Jabir, pemuda itu, dengan memberitahu satu keistimewaan yang ada pada ayahnya, dan apa yang menjadikan ayahnya lebih istimewa dibandingkan dengan orang-orang lain.

Daripada catatan sejarah itu, apabila kita mahu menghiburkan orang yang bersedih kerana ditinggal mati oleh orang yang sangat dikasihinya, puji si mati dengan menyebut satu sifat baiknya.


Tiada ulasan: