Dalam tradisi adab pergaulan Barat, apabila kita melihat ada orang yang kelihatan sedang menanggung beban fikiran, kita tidak dibenarkan bertanya kepada orang itu mengapa dia kelihatan risau, sugul ataupun sedih. "Mind you own business." (Jangan jaga tepi kain orang.) Ini adalah intipati kepada adab pergaulan dalam budaya masyarakat Barat.
Sikap suka ambil tahu urusan orang lain adalah melanggar adab Barat, di mana seseorang itu hanya boleh bertanya masalah orang lain apabila orang itu sendiri sudah memulakan percakapan berkenaan masalahnya.
Pada masa ini adab Barat ini sudah kita pinjam dan jadikan sebahagian daripada adab pergaulan modern di kalangan kita. Adab ini terbawa-bawa sampai kepada perhubungan antara ketua dengan anak-anak buah, di mana ketua tidak mahu mengambil inisiatif bagi mengetahui urusan masalah peribadi anak-anak buahnya.
Nabi Muhammad adalah seorang kaunselor. Ada masanya orang yang mengalami masalah datang berjumpa beliau dengan tujuan mencari penyelesaian bagi masalahnya. Ada masanya beliau terjumpa dengan orang yang mengalami masalah lalu beliau bertanya, dan di situ juga beliau memberikan kaunseling.
Dalam catatan sejarah, ada suatu peristiwa di mana Nabi Muhammad mengambil inisiatif bertanya kepada orang yang kelihatan sedang menganggung beban dalaman. Dalam peristiwa itu, selepas bertanya, Nabi Muhammad memberi kaunseling, yakni tanpa orang itu memintanya:
Jabir bin Abdullah melaporkan dia pernah terjumpa dengan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Wahai Jabir, mengapa saya lihat saudara dalam keadaan tidak bersemangat?” Jabir menjawab, “Wahai Rasul Allah, ayah saya telah mati syahid. Dia terbunuh semasa Perang Gunung Uhud dengan meninggalkan keluarga dan hutang.” Nabi Muhammad berkata, “Mahukah saudara saya beritahu khabar gembira tentang ayah saudara yang akan berjumpa dengan Allah?” Jabir menjawab, “Mahu, wahai Rasul Allah.” Nabi Muhammad berkata, “Allah tidak pernah bercakap dengan sesiapa pun, melainkan dari balik tabir. Allah akan menghidupkan semula ayah saudara, dan Allah akan bercakap kepadanya tanpa ada tabir. - Hadith No. 3010 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad sebagai ketua telah melihat Jabir seperti seorang yang memerlukan kaunseling, lalu tanpa diminta oleh Jabir, Nabi Muhammad memulakan proses kaunseling. Mula-mula sekali Nabi Muhammad bertanya apa faktor yang menyebabkan Jabir dalam keadaannya itu, “Wahai Jabir, mengapa saya lihat saudara dalam keadaan tidak bersemangat?”
Pertanyaan Nabi Muhammad itu sangat spesifik, yakni beliau melihat Jabir seperti orang yang tidak ada semangat, maka beliau bertanya apa punca Jabir tidak bersemangat.
Nabi Muhammad tidak bertanya secara umum, seperti:
* "Kamu ini lain macam sahaja saya tengok. Apa yang tak kena?"
* "Kenapa kamu macam ada problem sahaja?"
* "Kamu ada masalahkah?"
* "Apa sudah jadi dengan kamu?"
* "Kenapa kamu macam tidak ada mood sahaja?"
* "Apa kena dengan kamu hari ini?"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan