Sebagai Komunikator: Cara Nabi Muhammad Menyapa Orang yang Tidak Bersemangat

Nabi Muhammad adalah seorang komunikator yang sangat efektif.

Apabila beliau melakukan komunikasi interpersonal satu-dengan-satu, setiap kata-katanya meninggalkan kesan positif kepada orang yang bercakap dengannya.

Dalam catatan sejarah ada suatu peristiwa Nabi Muhammad bercakap-cakap dengan seorang yang sedang menanggung tekanan emosi yang berat. Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad memulakan interaksi.

Jabir bin Abdullah melaporkan dia pernah terjumpa dengan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Wahai Jabir, mengapa saya lihat saudara dalam keadaan tidak bersemangat?” Jabir menjawab, “Wahai Rasul Allah, ayah saya telah mati syahid. Dia terbunuh semasa Perang Gunung Uhud dengan meninggalkan keluarga dan hutang.” Nabi Muhammad berkata, “Mahukah saudara saya beritahu khabar gembira tentang ayah saudara yang akan berjumpa dengan Allah?” Jabir menjawab, “Mahu, wahai Rasul Allah.” Nabi Muhammad berkata, “Allah tidak pernah bercakap dengan sesiapa pun, melainkan dari balik tabir. Allah akan menghidupkan semula ayah saudara, dan Allah akan bercakap kepadanya tanpa ada tabir. -
Hadith No. 3010 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi

Dalam peristiwa itu, Nabi Muhammad memulakan interaksi dengan:

1. Menyebut nama rakan-bualnya semasa membuka mulut,
“Wahai Jabir, mengapa saya lihat saudara dalam keadaan tidak bersemangat?”

2. Ayat pertama adalah ayat pertanyaan.
“Wahai Jabir, mengapa saya lihat saudara dalam keadaan tidak bersemangat?”

Nota kaki: Dalam peristiwa di atas, Jabir bukan seorang yang melakukan sebarang kesalahan, dia hanya dalam keadaan tertekan, dan Nabi Muhammad menggunakan perkataan 'mengapa' bagi menyiasat punca tekanan itu.


Tiada ulasan: