Sebagai Komunikator: Bagaimana Nabi Muhammad Menghiburkan Orang Bersedih

Salah satu kesukaran bercakap adalah kita tidak tahu apa yang sebaiknya diucapkan kepada orang yang sedang bersedih kerana baru ditinggal mati oleh anggota keluarga yang sangat rapat.

Dalam rekod sejarah, ada catatan yang menunjukkan teknik bagaimana Nabi Muhammad menghiburkan orang yang sedang ditimpa kesedihan.

Jabir bin Abdullah melaporkan dia pernah terjumpa dengan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Wahai Jabir, mengapa saya lihat saudara dalam keadaan tidak bersemangat?” Jabir menjawab, “Wahai Rasul Allah, ayah saya telah mati syahid. Dia terbunuh semasa Perang Gunung Uhud dengan meninggalkan keluarga dan hutang.” Nabi Muhammad berkata, “Mahukah saudara saya beritahu khabar gembira tentang ayah saudara yang akan berjumpa dengan Allah?” Jabir menjawab, “Mahu, wahai Rasul Allah.” Nabi Muhammad berkata, “Allah tidak pernah bercakap dengan sesiapa pun, melainkan dari balik tabir. Allah akan menghidupkan semula ayah saudara, dan Allah akan bercakap kepadanya tanpa ada tabir." -
Hadith No. 3010 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi.

Dalam peristiwa di atas, emosi dan fikiran Jabir sedang dalam keadaan amat tertekan. Dia tertekan oleh kematian ayahnya, oleh tanggungan keluarga yang ditinggalkan ayahnya, dan oleh hutang ayahnya.

Teknik bagaimana Nabi Muhammad menghiburkan Jabir adalah:

1. Antara tiga tekanan itu, Nabi Muhammad hanya respon kepada tekanan pertama, iaitu kesedihan yang dirasai oleh Jabir akibat kematian ayahnya. Beliau tidak respon kepada isu beban keluarga dan hutang ayahnya.

Dari peristiwa ini dapat ditarik prinsip:

(i) Supaya didahulukan merawat kesedihan daripada menyelesaikan masalah-masalah kekeluargaan dan kewangan.

(ii) Apabila merawat kesedihan, fokus kepada kesedihan itu sahaja. Jangan sentuh perkara-perkara lain daripada itu.

2. Sebagai respon kepada perihal Jabir bersedih atas kematian ayahnya, Nabi Muhammad memberitahu kedudukan istimewa ayahnya dibandingkan dengan manusia lain. Beliau memberitahu Jabir,
“Allah tidak pernah bercakap dengan sesiapa pun, melainkan dari balik tabir. Allah akan menghidupkan semula ayah saudara, dan Allah akan bercakap kepadanya tanpa ada tabir.

Dari peristiwa ini dapat ditarik prinsip:

i. Puji sifat kebaikan si mati yang paling mulia di sisi Allah.

ii. Pilih satu sahaja sifat mulia bagi dipuji.

3. Sebelum Nabi Muhammad memberitahu perihal ayahnya itu, beliau bertanya dahulu kepada Jabir, “Mahukah saudara saya beritahu....?” Apabila Jabir menjawab, “Mahu.... barulah Nabi Muhammad memberitahu keistimewaan satus ayahnya.

Dari peristiwa ini dapat ditarik prinsip: Minta izin dahulu dari orang yang bersedih itu sebelum memulakan proses merawat kesedihannya.



Tiada ulasan: