Dalam mana-mana organisasi, ada saf yang prestasi kerjanya setakat cukup-cukup makan, ataupun sap-sap-soi. Pekerja jenis ini bekerja asal tidak sampai dikenakan tindakan disiplin. Mereka melakukan tugas yang basik-basik sahaja, tetapi mengharapkan ganjaran yang banyak!
Salah satu tugas ketua adalah mendorong orang bawahannya supaya meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil kerja mereka.
Dalam buku-buku pengurusan Barat, strategi yang lazimnya digunakan bagi mendorong supaya orang bawahan menghasilkan kerja yang banyak adalah dengan menggunakan (i) target kerja, dan (ii) KPI (key performance index).
Apabila staf mencapai target kerja, mereka diberi ganjaran. Begitu juga apabila staf mencapai KPI. Apabila staf gagal mencapai target kerja dan KPI, mereka dihukum.
Nabi Muhammad juga mempunyai orang-orang bawahan yang sap-sap-soi. Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Anas melaporkan bahawa pada suatu masa ada seseorang pemuda datang berjumpa Nabi Muhammad, lalu dia bertanya, “Wahai Rasul Allah, bilakah kiamat akan berlaku?” Nabi Muhammad berdiri bagi menunaikan sembahyang. Sesudah selesai sembahyang beliau bertanya, “Mana orang tadi yang bertanya tentang hari kiamat?” Seorang pemuda menjawab, “Saya, wahai Rasul Allah.” Nabi Muhammad bertanya, “Apa yang persiapan saudara bagi menghadapinya?” Pemuda itu menjawab, “Wahai Rasul Allah, saya tidak bersiap sedia menghadapinya dengan banyak bersembahyang dan banyak berpuasa. Saya hanya mencintai Allah dan Rasulnya.” Nabi Muhammad berkata, “Seseorang itu akan bersama-sama dengan orang yang dicintainya. Saudara akan bersama-sama dengan orang yang saudara cintainya.” -- Dari kitab Shahih Sunan Tarmizi, hadith No. 2385
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad tidak mengkritik sikap pemuda sap-sap-soi itu, apatah lagi mengutuknya. Beliau juga tidak menasihati pemuda itu supaya meningkatkan amal ibadatnya. Sebaliknya beliau memberitahu ganjaran yang berhak diterima oleh pemuda itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan