Sebagai Komunikator: Bagaimana Nabi Muhammad Menjawab Pertanyaan 'bodoh'

Apabila ada orang bertanya soalan yang Nabi Muhammad pun tidak tahu jawapannya, beliau tidak mengkritik orang yang bertanya itu. Sebaliknya beliau menjawab dengan bertanyakan soalan yang memberi manfaat kepada orang itu.

Anas melaporkan, pada suatu masa ada seorang pemuda datang berjumpa Nabi Muhammad, lalu dia bertanya, “Wahai Rasul Allah, bilakah kiamat akan berlaku?” Nabi Muhammad berdiri bagi menunaikan sembahyang. Sesudah selesai sembahyang beliau bertanya, “Mana orang tadi yang bertanya tentang hari kiamat?” Seorang pemuda menjawab, “Saya, wahai Rasul Allah.” Nabi Muhammad bertanya, “Apakah persiapan saudara bagi menghadapinya?” Pemuda itu menjawab, “Wahai Rasul Allah, saya tidak bersiap sedia menghadapinya dengan banyak bersembahyang dan banyak berpuasa. Saya hanya mencintai Allah dan Rasulnya.” Nabi Muhammad berkata, “Seseorang itu akan bersama-sama dengan orang yang dicintainya. Saudara akan bersama-sama dengan orang yang saudara cintai.” --
Hadith No. 2385 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi

Dalam peristiwa di atas, pemuda itu mahu tahu bila masanya kiamat berlaku. Nabi Muhammad senyap tidak menjawab pertanyaan itu. Sebaliknya, beliau bertanya pula kepada pemuda tersebut apakah pesediaannya bagi menghadapi kiamat. Dari satu segi, lain yang ditanyakan, lain yang dijawab.

Lazimnya apabila orang pintar ditanya dengan soalan yang dia tidak mempunyai jawapannya, si pintar akan berkata, "What a stupid question" (Bodohnya soalan itu!)

Sebagai contoh, pada suatu masa dahulu, seorang ilmuwan dipanggil ke istana raja bagi menyampaikan ceramah. Ada seorang hulubalang bertanya: "Tuan yang bijaksana, saya mohon bertanya. Pertama, tugas malaikat Jibril adalah menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad. Sekarang ini Nabi sudah tiada lagi, sudah wafat, jadi apakah kerja malaikat Jibril sekarang? Kedua, malaikat Israfil pula tugasnya adalah meniup api sangkakala apabila kiamat berlaku. Tetapi sampai hari ini kiamat belum berlaku. Jadi apa dia buat sekarang?" Ilmuwan itu tidak mempunyai jawapan kepada dua soalan hulubalang raja itu, lalu dia pun berkata, "Ampun tuanku! Soalan macam ini jika hamba patik jawab, hamba patik pun jadi sama bodohnya."
Raja dan semua pembesar istana yang ada ketawa berdekah-dekah.

Dalam kisah di atas, hulubalang yang bertanya itu mendapat malu sebab dikatakan bodoh oleh si ilmuwan itu.
Namun cara Nabi Muhammad melayan pertanyaan seperti itu sangat berbeza. Dalam kes Nabi Muhammad, beliau menaikkan darjat orang yang bertanyakan soalan apabila beliau mengatakan si penanya itu akan berada di syurga bersama-sama dengan dirinya.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Perkongsian yang baik... harapan saya agar setiap Hadith yang dikemukakan sentiasa dipastikan kesahihan terlebih dahulu... bukan bermaksud hadith di atas ialah hadith tak sahih... cuma peringatan seorang saudara kepada saudara seislamnya.. :D - hamba Allah yang masih belajar

Tanpa Nama berkata...

so.. ada sapa2 tau tak apa jawapan kpd soalan si hulubalang tu? just curious