Salah satu kelaziman yang kita lakukan adalah menjadikan diri kita sebagai model ikutan bagi orang lain, maksudnya kita suruh orang lain ikut macam kita, yakni buat apa yang kita buat.
Kalau kita suka bersembahyang dhuha, kita pun mengajak-ajak orang lain supaya melakukan sembahyang dhuha macam kita. Kalau kita suka berpuasa sunat Isnin-Khamis, kita pun mengajak-ajak orang-orang lain berpuasa Isnin-Khamis macam kita.
Nabi Muhammad adalah seorang yang banyak melakukan sembahyang tambahan dan puasa tambahan. Namun ada catatan sejarah yang menunjukkan apabila Nabi Muhammad mahu mendorong orang yang malas melakukan amalan-amalan tambahan, beliau tidak menjadikan diri beliau sebagai model kepada orang itu.
Anas melaporkan, pada suatu masa ada seorang pemuda datang berjumpa Nabi Muhammad, lalu dia bertanya, “Wahai Rasul Allah, bilakah kiamat akan berlaku?” Nabi Muhammad berdiri bagi menunaikan sembahyang. Sesudah selesai sembahyang beliau bertanya, “Mana orang tadi yang bertanya tentang hari kiamat?” Seorang pemuda menjawab, “Saya, wahai Rasul Allah.” Nabi Muhammad bertanya, “Apakah persiapan saudara bagi menghadapinya?” Pemuda itu menjawab, “Wahai Rasul Allah, saya tidak bersiap sedia menghadapinya dengan banyak bersembahyang dan banyak berpuasa. Saya hanya mencintai Allah dan Rasulnya.” Nabi Muhammad berkata, “Seseorang itu akan bersama-sama dengan orang yang dicintainya. Saudara akan bersama-sama dengan orang yang saudara cintai.” -- Hadith No. 2385 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad memberitahu si pemalas itu bahawa dengan melakukan apa yang sudah dilakukannya itu pun si pemalas itu akan dapat masuk syurga, yakni dia tidak perlu melakukan sembahyang dan puasa tambahan.
Nabi Muhammad tidak berkata kepada si pemalas itu ayat-ayat seperti di bawah:
* "Saya yang Nabi pun buat sembahyang tambahan, macam mana pula awak yang manusia biasa tidak mahu buat sembahyang tambahan."
* "Saya yang sudah dijamin masuk syurga pun masih buat sembahyang dan puasa tambahan, awak yang belum tentu dapat masuk syurga pula malas buat amal tambahan."
* "Awak kata awak mencintai saya, jadi awak kenalah banyak buat sembahyang tambahan dan puasa tambahan macam saya."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan