Sebagai Motivator: Nabi Muhammad Menerima dengan Baik Kualiti Kerja yang Minimum

Nabi Muhammad adalah seorang pendorong perubahan tingkah laku. Beliau dapat mendorong orang biasa-biasa mengubah sikap dan tingkah laku mereka sehingga akhirnya mereka menjadi orang-orang yang luar biasa.

Salah satu strategi yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila mendorong orang biasa-biasa adalah dengan menerima mereka seadanya.

Dalam sebuah catatan sejarah, Nabi Muhammad pernah berjumpa dengan seorang pemuda yang kurang cemerlang prestasi kerjanya tetapi dia menginginkan balasan yang besar.

Anas melaporkan, pada suatu masa ada seorang pemuda datang berjumpa Nabi Muhammad, lalu dia bertanya, “Wahai Rasul Allah, bilakah kiamat akan berlaku?” Nabi Muhammad berdiri bagi menunaikan sembahyang. Sesudah selesai sembahyang beliau bertanya, “Mana orang tadi yang bertanya tentang hari kiamat?” Seorang pemuda menjawab, “Saya, wahai Rasul Allah.” Nabi Muhammad bertanya, “Apakah persiapan saudara bagi menghadapinya?” Pemuda itu menjawab, “Wahai Rasul Allah, saya tidak bersiap sedia menghadapinya dengan banyak bersembahyang dan banyak berpuasa. Saya hanya mencintai Allah dan Rasulnya.” Nabi Muhammad berkata, “Seseorang itu akan bersama-sama dengan orang yang dicintainya. Saudara akan bersama-sama dengan orang yang saudara cintai.” --
Hadith No. 2385 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad tidak mengkritik sikap dan prestasi pemuda itu yang tidak cemerlang.

Contoh ayat kritikan terhadap sikap dan prestasi yang tidak cemerlang:

* "Kamu mahu masuk syurga, tetapi kamu malas menambahkan amal kamu."
* "Kamu mahu banyak, tapi buat sedikit sahaja."
* "Kamu patut malu, buat sedikit tapi hendak dapat banyak."
* "Kamu fikir syurga itu untuk orang yang malas beramalkah?"
* "Kamu malas beramal, tapi ada hati mahu masuk syurga!"


Tiada ulasan: