Sebagai Ketua: Cara Nabi Muhammad Menghiburkan Hati Anak Buahnya yang Bersedih

Salah satu ciri ketua yang dikasihi oleh anak-anak buahnya adalah sikapnya yang sangat mengambil berat hal-ehwal orang bawahannya, termasuk hal-ehwal kehidupan peribadi mereka, khususnya dalam kes anak-anak buah yang sedang bersedih.

Dalam catatan sejarah ada suatu peristiwa bagaimana Nabi Muhammad mengambil perhatian tentang diri anak buahnya.

Jabir bin Abdullah melaporkan dia pernah terjumpa dengan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Wahai Jabir, mengapa saya lihat saudara dalam keadaan tidak bersemangat?” Jabir menjawab, “Wahai Rasul Allah, ayah saya telah mati syahid. Dia terbunuh semasa Perang Gunung Uhud dengan meninggalkan keluarga dan hutang.” Nabi Muhammad berkata, “Mahukah saudara saya beritahu khabar gembira tentang ayah saudara yang akan berjumpa dengan Allah?” Jabir menjawab, “Mahu, wahai Rasul Allah.” Nabi Muhammad berkata, “Allah tidak pernah bercakap dengan sesiapa pun, melainkan dari balik tabir. Allah akan menghidupkan semula ayah saudara, dan Allah akan bercakap kepadanya tanpa ada tabir. -
Hadith No. 3010 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi

Dalam peristiwa di atas Nabi Muhammad ternampak keadaan diri Jabir yang tidak seperti biasanya, lalu beliau mengambil inisiatif bertanya kepada Jabil mengapa dia kelihatan seperti orang yang tiada semangat.

Dalam peristiwa lain, Nabi Muhammad mengambil perhatian anak buah perempuan yang baru dicerai oleh suaminya.

Fatimah binti Qais melaporkan bahawa dirinya pernah dicerai dengan talak tiga oleh bekas suaminya. Nabi Muhammad menerangkan kepadanya bahawa dia tidak berhak menerima tempat tinggal dan belanja hidup dari bekas suaminya itu. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Apabila saudari sudah tamat tempoh iddah, beritahu saya.” Lalu apabila tempoh iddahnya sudah tamat, dia pun memaklumkan perkara itu kepada Nabi Muhammad. Kemudian daripada itu ada tiga lelaki meminang dirinya, iaitu Muawiyah, Abu Jaham, dan Usamah bin Zaid. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Muawiyah itu miskin, sedangkan Abu Jaham suka memukul isterinya, sebaiknya saudari terima Usamah sahaja.” Hati Fatimah tidak setuju dengan nasihat Nabi Muhammad. Sambil dia memulas-mulas tangannya, dia berkata, “Usamah?” Kemudian Nabi Muhammad berkata, “Taat kepada Allah dan Rasulnya adalah lebih baik bagi saudari.” Lalu Fatimah pun bernikah dengan Usamah. Menurutnya, selepas itu dia mengecapi kebahagiaan dalam perkahwinannya dengan Usamah. -- Hadith No. 862 dalam kitab Ringkasan Sohih Muslim

Dalam peristiwa di atas Nabi Muhammad mengambil inisiatif membantu perempuan itu memilih suami baru yang baik.


Tiada ulasan: