Sebagai Ketua: Bagaimana Nabi Memulihkan Semangat Kerja Anak Buahnya yang Jatuh

Nabi Muhammad adalah seorang ketua kerja. Beliau banyak mengetuai pasukan kerja yang terdiri daripada anak-anak buah beliau sendiri. Sebagai contoh, semasa persiapan Perang Parit, sebagai ketua tentera beliau juga mengetuai kerja-kerja menggali parit pertahanan yang dibina bagi melindungi kota Madinah daripada serangan luar. Sebagai ketua beliau sendiri ikut bekerja menggali parit.

Sebagai ketua antara tugas-tugas yang dijalankan oleh Nabi Muhammad adalah menaikkan semula semangat kerja anak-anak buahnya yang jatuh akibat faktor-faktor di luar pekerjaan mereka.

Dalam rekod-rekod sejarah, ada dicatatkan peristiwa bagaimana Nabi Muhammad menaikkan semua semangat kerja salah seorang anak buahnya.

Jabir bin Abdullah melaporkan dia pernah terjumpa dengan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Wahai Jabir, mengapa saya lihat saudara dalam keadaan tidak bersemangat?” Jabir menjawab, “Wahai Rasul Allah, ayah saya telah mati syahid. Dia terbunuh semasa Perang Gunung Uhud dengan meninggalkan keluarga dan hutang.” Nabi Muhammad berkata, “Mahukah saudara saya beritahu khabar gembira tentang ayah saudara yang akan berjumpa dengan Allah?” Jabir menjawab, “Mahu, wahai Rasul Allah.” Nabi Muhammad berkata, “Allah tidak pernah bercakap dengan sesiapa pun, melainkan dari balik tabir. Allah akan menghidupkan semula ayah saudara, dan Allah akan bercakap kepadanya tanpa ada tabir. -
Hadith No. 3010 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi

Dalam peristiwa di atas Jabir hilang semangat kerja disebabkan beliau menanggung 3 tekanan yang berat. Tekanan pertama adalah tekanan emosi apabila ayah beliau meninggal dunia dalam peperangan. Tekanan kedua adalah tekanan beban menyara ibu dan adik beradiknya yang banyak. Manakala tekanan ketiga adalah beban kewangan kerana ayahnya mati meninggalkan hutang.

Nabi Muhammad menaikkan semula semangat kerja Jabir dengan cara beliau mengatakan sesuatu yang dapat menghilangkan kesedihan Jabir yang baru kehilangan ayahnya itu. Kata Nabi kepada Jabir,
“Mahukah saudara saya beritahu khabar gembira tentang ayah saudara...."


Tiada ulasan: