Teknik Nabi Muhammad Mendorong Inisiatif dan Kreativiti

Dalam rekod sejarah, ada dua catatan yang menunjukkan teknik bagaimana Nabi Muhammad mendorong kreativiti. Dalam kedua-dua catatan itu, berlaku peristiwa di mana ada dua orang yang telah mengambil inisiatif mencipta sesuatu yang baru. Mereka telah mencipta ayat zikir karangan mereka sendiri, yakni Nabi Muhammad tidak pernah mengajarkan kata-kata zikir tersebut. Apabila Nabi Muhammad terdengar ayat-ayat zikir yang mereka cipta itu beliau telah memuji keistimewaan zikir itu.

Dalam catatan pertama, ada lelaki yang mencipta ayat zikir
"Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila."

Dalam catatan kedua, seorang lelaki lain mencipta ayat zikir "Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih."

1.
Ibnu Umar adalah salah seorang sahabat baik Nabi Muhammad. Dalam laporannya, Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim

2. Salah seoranh sahabat Nabi Muhammad adalah Anas. Beliau melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil dia membaca dengan kuat 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' (Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh berkat.) Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dua hadith di atas adalah contoh dalam kepimpinan gaya Nabi Muhammad, yang menunjukkan prinsip-prinsip yang beliau gunakan apabila mendorong inisiatif dan kreativiti:

1. Apabila anak buahnya melakukan kerja yang tidak disuruh, Nabi Muhammad memberikan pujian ke atas hasil kerja anak-anak buahnya itu.

*
"Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." (Nabi Muhammad memuji hasil kerja)

* “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” (Nabi Muhammad memuji hasil kerja)

2. Apabila Nabi Muhammad memuji, perkara yang dipuji adalah hasil kerja orang itu, bukan diri orang itu.

3. Apabila kerja itu dilakukan secara terbuka, maka pujian juga diberikan secara terbuka.

4. Pujian diberikan dengan segera, yakni Nabi Muhammad tidak menangguhkan pujian sehingga suatu masa lain.

5. Di mana hasil kerja itu dilakukan, di situlah juga pujian itu diberikan, tidak di tempat lain.


Satu Orang yang Dipuji, Semua Orang dalam Dalam Kumpulan Ikut Termotivasi

Dalam amalan lazim, ketua-ketua khuatir mahu memuji seseorang secara terbuka di hadapan orang-orang lain disebabkan hal itu boleh menyebabkan timbulnya kesan-kesan sampingan yang negatif. Disebabkan kekhuatiran itu banyak ketua memberikan pujian kepada anak-anak buahnya secara sembunyi-sembunyi.

Memang perbuatan ketua memuji seseorang anak buah secara terbuka di hadapan rakan-rakan sekerja boleh mencipta risiko kesan sampingan negatif. Antara risiko itu adalah:

a. Orang yang dipuji itu menjadi perasan dan timbul perasaan riak dalam dirinya.

b. Orang-orang lain yang tidak dipuji berasa cemburu dan iri hati.

c. Hanya orang yang dipuji mengalami peningkatan motivasi, manakala yang orang-orang lain hilang motivasi.

Dalam catatan sejarah di bawah ini, Nabi Muhammad memberi pujian kepada satu orang, hasilnya orang lain yang mendengar pujian itu ikut melakukan perbuatan yang dipuji itu.

Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Ibnu Umar. Dalam laporannya,
Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim

Dalam peristiwa di atas, Ibnu Umar mengaku bahawa semenjak dia mendengar pujian yang diberikan oleh Nabi Muhammad kepada lelaki itu dia ikut mengucapkan kata-kata yang diucapkan oleh lelaki tersebut.

Apabila Nabi Muhammad memberi pujian kepada satu orang anak buahnya, beliau tidak mencipta kesan-kesan negatif ke atas motivasi anak-anak buahnya yang lain yang kebetulan menyaksikan peristiwa itu. Ini adalah disebabkan teknik yang beliau gunakan bagi menyampaikan pujiannya itu adalah betul, yakni beliau memuji hasil kerja orang itu, beliau tidak memuji diri orang itu.


Nabi Muhammad Menjaga Maruah Perempuan Berdosa

Nabi Muhammad adalah seorang yang sangat menjaga nama baik perempuan. Dalam suatu peristiwa, sepasang remaja lelaki dan perempuan telah melakukan dosa berat, yakni bercumbu-cumbu. Kemudian pemuda itu telah datang berjumpa Nabi Muhammad dan mengakui kesalahannya. Namun Nabi Muhammad langsung tidak bertanya siapa perempuan yang menjadi pasangannya itu.

Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad.
Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - (Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud)

Dalam peristiwa di atas, meskipun pemuda itu telah mengaku bahawa dia pernah melakukan dosa yang berat dengan seorang perempuan, tetapi Nabi Muhammad tidak menyuruh supaya dia memberitahu siapa perempuan itu dengan bertanya:

* "Siapa nama perempuan itu?"
* "Dia anak siapa?"
* "Di mana rumahnya?"
* "Adakah dia anak dara, janda ataupun isteri orang?"

Sampai hari ini tidak ada sesiapa yang tahu siapa perempuan yang menjadi pasangan bercumbu pemuda tersebut.


Nabi Muhammad Tidak Bertanya Nama Orang yang Beliau Beri Pujian

Adalah menjadi kebiasaan di kalangan para pelapor hadith, apabila mereka melaporkan hadith mereka akan menyebut nama-nama orang penting yang ada peranan dalam hadith berkaitan. Namun, apabila individu yang terlibat itu bukan orang penting, nama mereka tidak direkodkan oleh orang yang melaporkan peristiwa tersebut.

Pakar-pakar komunikasi Barat sangat menyarankan supaya ketua-ketua menghafal nama-nama orang bawahan mereka dan menyebut nama mereka apabila berkomunikasi dengan mereka.

Saranan pakar-pakar Barat itu tidak selaras dengan amalan Nabi Muhammad. Dalam rekod sejarah Islam terdapat banyak catatan di mana Nabi Muhammad pernah memuji anak-anak buahnya yang beliau tidak tahu nama orang-orang itu, dan beliau tidak pula bertanya siapa nama-nama mereka.

Ada suatu catatan sejarah di mana Nabi Muhammad memberi pujian kepada seorang orang kecil. Orang itu adalah orang kecil kerana pelapor hadith itu tidak menyebut siapa orang itu. Pada peristiwa itu Nabi Muhammad mendengar suara berkata
"Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." lalu bertanya siapa yang berkata itu. Apabila orang itu mengaku, Nabi Muhammad tidak bertanya, "Boleh saya tahu nama saudara?"

Ibnu Umar adalah salah seorang sahabat baik Nabi Muhammad. Dalam laporannya,
Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim.



Nabi Muhammad Mendorong dengan Tidak Menggunakan Kata Gantinama Orang Kedua

Nabi Muhammad adalah seorang motivator yang sangat mahir. Beliau dapat mendorong orang-orang di sekelilingnya mengubah sikap dan tingkah laku buruk mereka sehingga menjadi orang-orang yang baik dan mulia.

Apabila Nabi Muhammad bercakap dengan tujuan mahu mendorong orang supaya melakukan perkara-perkara baik, kata-kata yang beliau gunakan menyebabkan orang menerima dorongannya itu dengan perasaan positif.

Dalam rekod sejarah terdapat banyak catatan yang menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad mendorong orang supaya melakukan perkara-perkara yang baik.

Di bawah ini adalah salah satu contoh catatan sejarah bagaimana Nabi Muhammad mendorong orang supaya bersedekah dan menderma.

Abu Musa memberitahu bahawa Nabi Muhammad berkata, "Bagi setiap Muslim itu hendaklah bersedekah." Orang ramai bertanya, "Jika tidak mampu?" Nabi menjawab, "Bekerja dengan tangannya untuk manfaat dirinya kemudian bersedekah." Mereka bertanya, "Jika tidak mampu?" Nabi menjawab, "Membantu orang yang betul-betul berhajat." Mereka bertanya, "Jika tidak mampu?" Nabi menjawab, "Menganjurkan kebaikan." Mereka bertanya, "Jika tidak mampu?" Nabi menjawab, "Menahan diri daripada kejahatan, sesungguhnya ia sedekah untuk dirinya sendiri." - Hadith ini terdapat dalam rekod Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim

Antara ciri percakapan Nabi Muhammad adalah:

1. Nabi Muhammad sama sekali tidak bercakap dengan menggunakan kata ganti nama orang kedua. Kata gantinama orang kedua adalah: kamu, awak, kau, engkau, anda, saudara, tuan, puan, you, anta, enti.

2. Nabi Muhammad menggunakan kata gantinama orang ketiga, yakni 'nya'. Kata gantinama orang ketiga adalah: dia, beliau, mereka, nya, they.

Apabila seseorang itu bercakap dengan tidak menggunakan kata gantinama orang kedua, kesan positifnya adalah:

1. Target tidak berasa diri mereka 'diajar-ajar' dan diperbodohkan.

2. Target tidak berasa diri mereka dikritik, ditegur, dinasihati, dimarahi dan dileteri.

3. Target berasa mereka sedang mendengar informasi semata-mata.


.

Mudahnya Nabi Muhammad Memberi Gelaran

Nabi Muhammad seorang ketua kerja yang sangat berpengaruh. Orang sanggup bermati-matian ikut sama menjalankan kerja-kerja yang beliau lakukan.

Salah satu faktor yang mendorong orang suka bekerja di bawah pimpinan Nabi Muhammad adalah sikap beliau yang murah dengan puji-pujian.

Dalam rekod sejarah terdapat banyak catatan yang menunjukkan pelbagai teknik Nabi Muhammad memuji anak-anak buahnya. Salah satu daripada teknik itu adalah dengan memberikan gelaran kepada mereka.

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Jabir bin Abdillah melaporkan bahawa pada hari berlakunya Perang Khandaq, Nabi Muhammad telah mengumumkan panggilan perang, lalu Zubair bin Awam menyahut panggilan perang itu. Selepas itu, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awam menyahut panggilan itu. Kemudian, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awwam menyahut panggilan itu. Lalu Nabi Muhammad berkata, “Sesungguhnya, tiap-tiap nabi mempunyai pembela, dan pembela saya adalah Zubair.” - Hadith nombor 1643 dalam kitab Ringkasan Sohih Muslim

Gelaran 'pembela' itu diberikan kepada Zubair meskipun Zubair hanya menyahut panggilan sahaja. Yakni Zubair hanya bercakap sedikit.

Pada saat gelaran itu diberikan kepadanya, Zubair belum melakukan apa-apa. Beliau baru menyahut panggilan sebanyak 3 kali, namun Nabi Muhammad sudah memberikan gelaran yang sangat istimewa kepadanya.


Contoh menyahut panggilan:

* “Siapa mahu ikut saya pergi buat kerja gotong-royong di masjid?”
Ada orang menjawab, “Saya!"



.

Testimoni Guru Kelas Corot Ahmad Saifuddin

Petang tadi saya menanda latihan-latihan bagi tingkatan 3 Ibnu Khaldun (kelas corot). Sengaja saya berikan soalan-soalan yang memang boleh dijawab dan tidak perlu fikir apa-apa. Sebelum saya keluar, saya minta semua menghantar sebelum waktu balik. Sewaktu saya hendak keluar, saya bertanya, "Ada sesiapa yang sudah siap, boleh hantar sekarang." Ada pelajar lelaki gaya samseng di belakang sekali menghulurkan bukunya. Dia seorang sahaja, saya terkejut kerana dia cepat jawab. Bermakna dia budak pandai, cuma dia pemalas.

Saya puji sedikit, "Bagus awak, cepat awak siapkan jawapan." Dia menjawab, "Gerenti semua betul ustaz." Saya jawab, "Mesti gerenti betul." Hanya buku dia sahaja saya bawa keluar. Selepas itu datang pelajar-pelajar lain menghantar buku latihan ke meja saya. Guru-guru lelaki lain bertanya, "Pelajar kelas mana ustaz?" Saya jawab, "Pelajar kelas 3K (Ibnu Khaldun)." Mereka nampak terkejut. Bila datang pelajar lain lagi. Rakan guru lelaki lain turun memuji, "Bagus awak, terus hantar latihan."

Saya fikir mahu tanda minggu hadapan. Tetapi saya tidak sabar mahu test teknik memuji dalam buku latihan. Pertama saya tanda buku pelajar gaya samseng itu. Memang semua jawapannya betul (walaupun 3 soalan sahaja saya berikan). Selepas ditanda betul, saya tulis, "Saya kagum cara kamu menjawab soalan latihan ini. Cepat betul, saya yakin kamu mesti dapat A bagi subjek Pendidikan Islam."

Selepas itu, semua buku kawan-kawannya saya puji walaupun ada satu sahaja betul. Saya puji tulisannya mudah dibaca, saya puji cara dia susun jawapan yang baik, saya puji cantik jawapannya dengan mengasingkan warna tulisan antara soalan dan jawapan. Macam-macam saya tulis. Hanya seorang pelajar sahaja saya tidak puji, kerana saya tidak jumpa pula kebaikannya, tulisannya buruk, jawapannya semua salah. Mungkin dia geram betul bila dia baca buku latihan rakannya nanti.

Kesan awal, mereka suka saya. Sebelum balik, ada pelajar yang suka menyampuk dalam kelas itu datang bersalam dan cium tangan saya. Memang betul, mengajar kelas corot lebih seronok, mereka suka menyampuk berbanding kelas pandai kerana kelas pandai tidak berani buka mulut kerana takut salah. Kelas corot, dia main hentam sahaja. Hahaha!

Sewaktu sedang menunggu untuk balik, saya keluar sambil bersiap untuk solat zohor. Ada rakan-rakannya menyapa, "Ustaz, belum siap lagi la." Saya jawab, "Ikut kamulah." Sambil senyum. Kelas corot. Nanti dia iri hati bila dia baca buku rakannya nanti. Hehe!

Saya sudah tunjukkan contoh yang saya tulis itu kepada guru Bahasa Inggeris. Beliau suka dengan apa yang saya tulis. Nanti beliau akan praktikkan sewaktu menanda buku latihan pelajar-pelajarnya.


.

Bagaimana Nabi Muhammad Menyuruh Orang Berubah Tanpa Beliau Menyuruh

Nabi Muhammad adalah seorang motivator dan pendorong perubahan tingkah laku yang sangat efektif. Banyak sekali individu yang biasa-biasa telah berubah menjadi orang-orang cemerlang selepas mendengar kata-kata Nabi Muhammad.

Salah satu keistimewaan teknik Nabi Muhammad adalah di mana beliau sebenarnya menyuruh sasaran melakukan sesuatu, tetapi beliau tidak menggunakan ayat suruhan.

Dalam rekod sejarah terdapat banyak catatan yang menunjukkan bagaimana sasaran Nabi Muhammad mengubah sikap dan tingkah laku mereka dengan kehendak mereka sendiri selepas mendengar kata-kata Nabi Muhammad, padahal beliau tidak menyuruh mereka berubah. Di bawah ini adalah salah satu contohnya:

Ibnu Abbas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan menghadiahkan kepada Nabi Muhammad sebekas arak. Nabi Muhammad bertanya kepada lelaki itu, “Adakah saudara tahu bahawa Allah sudah mengharamkannya?” Lelaki itu menjawab, “Tidak.” Kemudian lelaki itu berbisik-bisik dengan orang yang di tepinya. Nabi Muhammad bertanya kepada lelaki itu, “Apakah yang saudara bisikkan kepadanya?” Lelaki itu menjawab, “Saya suruh dia menjualkannya sahaja.” Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Sesungguhnya Dia yang mengharamkan meminumnya, Dia mengharamkan menjualnya." Kemudian lelaki itu membuka penutup bekas araknya, lalu dituangkan isinya sampai habis sama sekali. -- Hadith No. 930 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad tidak menyuruh lelaki itu supaya membuang araknya. Sebaliknya lelaki itu sendiri yang melakukannya tanpa disuruh. Nabi Muhammad hanya berkata, "Sesungguhnya Dia yang mengharamkan meminumnya, Dia mengharamkan menjualnya." tetapi kesannya lelaki itu membuang semua araknya.

Antara perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad semasa beliau mendorong lelaki itu supaya mengubah sikap dan tingkah lakunya adalah:

1. Nabi Muhammad tidak bercakap menggunakan ayat suruhan.

Contoh ayat suruhan:
* “Kamu wajib buangkan arak itu sebab arak adalah benda haram.”
* “Lain kami bawalah hadiah lain yang halal, bukan arak.”

2. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat larangan.

Contoh ayat larangan:
* “Jangan gunakan arak sebagai hadiah, hukumnya haram.”
* “Arak benda haram, jangan minum arak lagi.”
* “Arak tidak boleh dijadikan hadiah. Jangan berikan arak kepada sesiapa. Hadiah untuk orang bukan Islam pun tak boleh.”

3. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat kritikan.

Contoh ayat kritikan:
* “Kamu mengaku Islam, tetapi bahawa arak adalah benda haram pun kamu tak tahu.”
* “Nampaknya kamu masih jahil tentang hukum meminum dan menjual arak.”
* “Orang lain semua sudah tahu arak adalah haram. Kamu sahaja yang belum tahu.”

4. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat nasihat.

Contoh ayat nasihat:
* “Lain kali jangan buat lagi kesilapan macam ini. Saya tidak boleh minum arak.”
* “Kamu mesti mendalami ilmu agama. Kalau tidak, kamu akan terus berada dalam kejahilan.”
* “Sebagai orang Islam, tuntutlah ilmu agama sampai ke liang lahad.”

5. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat komplen.

Contoh ayat komplen:
* “Nampaknya masih banyak umatku yang jahil agama.”
* “Umatku masih mengambil ringan isu halal-haram.”
* “Sistem pendidikan umatku masih banyak kelemahannya.”

6. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat kutukan.

Contoh ayat kutukan:
* “Apa nak jadi dengan kamu? Nama sahaja kamu sudah Islam. Perangai kamu masih perangai kafir.”
* “Kalau saya katakan kamu ini jahil, nanti kamu marah. Tapi kamu memang jahil!”
* “Apa nak jadi dengan kamu? Jahil murakab betul. Orang macam kamulah yang merosakkan nama baik Islam.”


.

Teknik Nabi Muhammad Memuji Pahlawan Perangnya

Nabi Muhammad seorang yang banyak memberi pujian dan pengiktirafan kepada orang-orang yang ada di sekeliling beliau. Beliau memberi pujian kepada semua orang yang layak menerima pujian, daripada orang-orang yang sangat akrab dengan beliau sehingga kepada orang-orang yang beliau tidak kenali sebelumnya.

Salah seorang sahabat Nabi Muhammad yang pernah beliau puji adalah Zubair bin Awam.

Di bawah ini adalah catatan dalam rekod sejarah bagaimana Nabi Muhammad memberi pujian kepada Zubair:


Sahabat Nabi Muhammada yang bernama Jabir bin Abdillah melaporkan bahawa pada hari berlakunya Perang Khandaq, Nabi Muhammad telah mengumumkan panggilan perang, lalu Zubair bin Awam menyahut panggilan perang itu. Selepas itu, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awwam menyahut panggilan itu. Kemudian, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awwam menyahut panggilan itu. Lalu Nabi Muhammad berkata, “Sesungguhnya, tiap-tiap nabi mempunyai pembela, dan pembela saya adalah Zubair.” - Hadith nombor 1643 dalam kitab Ringkasan Sohih Muslim


1. Gelaran yang diberikan oleh Nabi Muhammad kepada Zubair adalah berdasarkan peranan yang dimainkan oleh Zubair, yakni beliau telah 'membela' Nabi Muhammad. Gelaran itu adalah sebagai menghargai peranan yang dimainkan oleh Zubair, yakni sebagai 'pembela' beliau.

2. Nabi Muhammad memberikan gelaran 'pembela' kepada Zubair serta-merta, yakni sebaik-baik Zubair mengulangi perbuatan baiknya sebanyak 3 kali iaitu Zubair menyahut panggilan perang oleh Nabi Muhammad.

3. Nabi Muhammad tidak menyatakan pujian itu kepada Zubair secara peribadi dengan berkata, "Saudara adalah pembela saya." Gelaran itu diberikan dengan cara diumumkan kepada orang ramai yang kebetulan ada di tempat itu dan mereka semua menyaksikan perbuatan baik yang dilakukan oleh Zubair pada peristiwa itu.

4. Nabi Muhammad menyebutkan dahulu keistimewaan gelaran yang akan diberikannya kepada Zubair dengan berkata, “Sesungguhnya, tiap-tiap nabi mempunyai pembela...."


5. Gelaran itu diberikan di tempat kejadian.

6. Gelaran itu diberikan semata-mata dengan ucapan, tanpa diberikan simbol-simbol lain seperti pedang, pakaian dan lain-lain simbol.

7. Nabi Muhammad menyebut nama 'Zubair' sahaja, bukan nama penuhnya 'Zubair bin Awam'.


.

Bagaimana Nabi Muhammad Memberi Gelaran

Nabi Muhammad seorang ketua yang banyak memberikan gelaran kepada orang-orang di sekelilingnya.

Di bawah ini adalah catatan dalam rekod sejarah bagaimana Nabi Muhammad memberi gelaran kepada Zubair:


Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Jabir bin Abdillah melaporkan bahawa pada hari berlakunya Perang Khandaq, Nabi Muhammad telah mengumumkan panggilan perang, lalu Zubair bin Awam menyahut panggilan perang itu. Selepas itu, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awwam menyahut panggilan itu. Kemudian, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awwam menyahut panggilan itu. Lalu Nabi Muhammad berkata, “Sesungguhnya, tiap-tiap nabi mempunyai pembela, dan pembela saya adalah Zubair.” - Hadith nombor 1643 dalam kitab Ringkasan Sohih Muslim

1. Nabi Muhammad memberi gelaran 'pembela' kepada Zubair, sebaik-baik Zubair mengulangi perbuatan baiknya sebanyak 3 kali.

2. Nabi Muhammad menyebutkan dahulu keistimewaan gelaran yang akan diberikannya kepada Zubair dengan berkata,
“Sesungguhnya, tiap-tiap nabi mempunyai pembela...."

3. Gelaran yang diberikan oleh Nabi Muhammad kepada Zubair adalah berdasarkan peranan yang dimainkan oleh Zubair, yakni 'membela' Nabi Muhammad.

4. Gelaran itu diberikan di tempat kejadian.

5. Gelaran itu diberikan serta-merta, sebaik-baik Zubair melakukan kebaikannya.

6. Gelaran itu diberikan semata-mata dengan ucapan, tanpa diberikan simbol-simbol lain seperti pedang, pakaian dan lain-lain simbol.

7. Gelaran itu diberikan dengan cara diumumkan kepada orang ramai yang kebetulan ada di tempat kejadian.


.

Nabi Muhammad Mengubah Sikap Orang yang Tamak

Apabila Nabi Muhammad mendorong orang yang mempunyai tingkah laku negatif supaya mengubah sikapnya, beliau bercakap dengan menggunakan ayat-ayat yang mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Ayat-ayat yang diucapkan oleh Nabi Muhammad hanya
menerangkan: (a) tingkah laku yang baik dan (b) tingkah laku yang buruk.

2.
Beliau tidak mengkritik diri dan peribadi orang yang didorong itu.

Dalam rekod sejarah, terdapat banyak catatan yang menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad bercakap kepada orang yang didorong supaya mengubah tingkah laku negatifnya.

Di bawah ini contoh yang menunjukkan di sebalik kata-kata Nabi Muhammad yang panjang itu adalah prinsip yang memisahkan antara (i) diri pelaku, dan (ii) tingkah laku.

Seorang sabahat Nabi Muhammad yang bernama Hakim bin Hizam melaporkan, katanya, "Saya pernah meminta sesuatu daripada Nabi Muhammad, lalu beliau memberikannya. Kemudian saya meminta lagi, beliau memberi lagi. Saya meminta lagi, lalu beliau memberinya lagi.
Kemudian beliau berkata, "Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini manis dan indah, sesiapa yang mengambilnya dengan berlapang dada, tentu berkat untuknya. Sesiapa yang mengambilnya dengan tamak dan rakus, tidak akan berkat untuknya. Ia umpama orang yang makan tetapi tidak terasa kenyang. Tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah." Hakim berkata, "Wahai Rasul Allah, demi Allah yang mengutuskan tuan dengan benar, saya tidak akan meminta dari sesiapa pun selepas ini hingga saya mati." Kesan mendengar kata-kata Nabi Muhammad itu, pada zaman Khalifah Abu bakar, beliau memanggil Hakim kerana mahu menyerahkan bahagiannya daripada Baitul Mal, namun Hakim menolaknya. Sewaktu zaman Khalifah Umar al-Khattab, beliau juga memanggil Hakim bagi memberikan bahagian daripada Baitul Mal, Hakim juga menolak. Lalu Khalifah Umar al-Khattab berkata, "Wahai kaum muslimin, saya bersumpah di hadapan kalian bahawa saya telah memberikan kepada Hakim bahagiannya daripada harta baitulmal, tetapi beliau menolak." Hakim tetap tidak mahu menerima pemberian dari sesiapa pun selepas Nabi Muhammad meninggal sehingga Hakim sendiri meninggal dunia. - Hadith ini ada dalam rekod Sahih al-Bukhari & Muslim

1. Menyebut nama orang yang didorong sebelum memberi kata-kata dorongannya, "Wahai Hakim..."

2. Nabi Muhammad tidak menyebut perkataan 'kamu' meskipun kata-katanya itu ditujukan kepada 'Hakim' seorang sahaja.

3. Fokus pertama dalam ayat Nabi Muhammad adalah kepada 'harta' bukan kepada 'kamu':
"....sesungguhnya harta ini manis dan indah...."

4. Fokus kedua
dalam ayat Nabi Muhammad adalah kepada 'sesiapa' bukan kepada 'kamu': "....sesiapa yang mengambilnya dengan berlapang dada, tentu berkat untuknya. Sesiapa yang mengambilnya dengan tamak dan rakus, tidak akan berkat untuknya...."

5. Fokus ketiga dalam ayat Nabi Muhammad adalah kepada 'ia' bukan kepada 'kamu': "....Ia umpama orang yang makan tetapi tidak terasa kenyang...."

6. Fokus keempat dalam ayat Nabi Muhammad adalah kepada 'tangan' bukan kepada 'kamu': "....Tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah."

Dalam peristiwa di atas,
kata-kata Nabi Muhammad itu panjang, namun tidak sekali pun beliau menggunakan perkataan 'kamu'.

Beliau tidak berkata kepada Hakim: "Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini manis dan indah, jika kamu mengambilnya dengan berlapang dada, tentu berkat untuk kamu. Jika kamu mengambilnya dengan tamak dan rakus, tidak akan berkat untuk kamu. Perbuatan kamu umpama orang yang makan tetapi tidak berasa kenyang. Tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah."

Di sebalik kata-kata Nabi Muhammad yang panjang itu adalah prinsip yang memisahkan antara (i) diri pelaku, dan (ii) tingkah laku. Beliau tidak mengkritik peribadi Hakim. Beliau hanya menerangkan tingkah laku yang baik dan tingkah laku yang buruk.




Teknik Bagaimana Nabi Muhammad Memberi Pujian Panjang kepada Orang Kecil

Dalam rekod sejarah terdapat banyak catatan yang menunjukkan Nabi Muhammad banyak kali memuji-muji orang kecil secara terbuka di depan orang-orang lain, termasuk di hadapan mereka yang terdiri daripada orang-orang besar.

Apabila Nabi Muhammad memberi pujian, kata-kata pujiannya itu ditujukan kepada perbuatan baik yang dilakukan oleh orang yang dipuji. Beliau tidak memuji diri ataupun sikap orang itu.

Dalam catatan di bawah ini, Nabi Muhammad memuji tingkah laku yang baik yang dilakukan oleh seorang orang kecil dengan menerangkan pahala besar yang diberikan ke atas perbuatan baik itu.

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Jarir bin Abdullah melaporkan, pada suatu hari beberapa orang Arab kampung datang berjumpa Nabi Muhammad dengan memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit binatang yang masih ada bulunya. Apabila Nabi Muhammad melihat kemiskinan orang kampung itu beliau mengesyorkan supaya orang-orang yang ada mengeluarkan sedekah kepada mereka, tetapi anjuran Nabi Muhammad tidak diberikan perhatian serius sehingga menyebabkan tergambar emosi marah pada wajah beliau. Kemudian, ada seorang lelaki datang membawa uncang berisi duit. Selepas itu datang lagi orang-orang lain, sehingga beliau kelihatan gembira. Kemudian Nabi Muhammad berkata, “Sesiapa yang melakukan perbuatan baik dalam Islam, kemudian perbuatannya itu menjadi teladan dan diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat paha sebanyak pahala-pahala yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan pahala mereka sedikit pun tidak dikurangi. Sesiapa yang melakukan keburukan dalam Islam, kemudian diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat dosa sebanyak dosa-dosa yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan dosa mereka sedikit pun tidak dikurangi.” --
Hadith No. 1859 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Hadith di atas mempunyai ciri-ciri yang menarik:

1. Nabi Muhammad memberi pujian yang panjang:
“Sesiapa yang melakukan perbuatan baik dalam Islam, kemudian perbuatannya itu menjadi teladan dan diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat paha sebanyak pahala-pahala yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan pahala mereka sedikit pun tidak dikurangi. Sesiapa yang melakukan keburukan dalam Islam, kemudian diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat dosa sebanyak dosa-dosa yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan dosa mereka sedikit pun tidak dikurangi.”

2. Nama lelaki yang datang membawa uncang duit itu tidak dicatatkan oleh pelapor hadith ini. Besar kemungkinan Jabir bin Abdullah tidak tahu nama lelaki itu, yakni lelaki itu bukan dalam kalangan orang-orang besar. Demikian juga Jabir tidak mencatatkan nama-nama mereka yang kemudian ikut sama bersedekah.

3. Kata-kata pujian Nabi Muhammad mengandungi 2 bahagian. Bahagian pertama memberitahu pahala besar berbuat kebaikan. Bahagian kedua menerangkan risiko berbuat keburukan.

4. Pujian dan peringatan itu diucapkan kepada audiens di mana semua orang yang hadir dan mendengar kata-kata Nabi Muhammad adalah orang-orang yang melakukan perbuatan baik. Tidak ada sesiapa melakukan perbuatan buruk.

5. Nabi Muhammad tidak memuji secara spesifik lelaki yang membawa uncang duit itu. Nama lelaki itu tidak disebut dalam pujian beliau.

6. Nabi menujukan kata-kata pujiannya secara umum kepada semua orang yang ada di situ.

7. Nabi Muhammad memuji dahulu perbuatan baik dengan menerangkan besarnya pahala yang diterima oleh orang yang melakukannya.

8. Kemudian baru Nabi Muhammad menyebut risiko melakukan perbuatan buruk.

Nabi Muhammad tidak mendorong orangsupaya berbuat baik dengan cara mengkritik sikap kedekut dengan berkata:

* "Orang kedekut adalah calon penduduk neraka."
* "Malanglah nasib orang yang tidak mahu berbuat baik."
* "Orang kaya yang tidak suka bersedekah kepada jalan Allah akan diseksa di akhirat nanti."
* "Harta adalah ujian Allah kepada pemiliknya."
* "Orang yang kedekut akan dicampakkan ke dalam neraka bersama-sama harta mereka."
* "Sesiapa yang tidak mahu berbuat baik adalah orang yang rugi."
* "Sikap tidak mahu berbuat baik adalah sikap orang yang bodoh, tidak bijak."


.

Nabi Muhammad Tidak Menasihati Pesalah Dosa Berat yang Tidak Meminta Nasihatnya

Nabi Muhammad adalah seorang yang sangat berhati-hati apabila memberi nasihat. Salah satu prinsip yang beliau amalkan apabila memberi nasihat adalah: Nasihat hanya diberikan apabila diminta.

Dalam rekod sejarah, banyak catatan yang menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad tidak memberi nasihat meskipun kepada orang yang sepatutnya layak diberi nasihat kerana orang itu jahil hukum agama dan akhlaknya pun kurang baik.

Pada suatu hari, ada seorang pemuda datang berjumpa dengan Nabi Muhammad.
Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi pemuda itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata Saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil pemuda itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada pemuda itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud

Dalam peristiwa di atas, pemuda itu meminta dirinya dihukum, tetapi Nabi Muhammad tidak menghukumnya kerana kesalahan bercumbu-cumbu adalah kesalahan yang tiada hukumannya di dunia ini. Hukumannya adalah di akhirat nanti.

Tujuan pemuda itu meminta supaya dirinya dihukum adalah disebabkan dia mahu membersihkan dosa-dosanya. Kerana itu Nabi Muhammad menerangkan kepadanya cara yang betul membersihkan dosa. Cara-cara itu terkandung dalam ayat Quran yang dibacakan kepada pemuda itu.

Disebabkan pemuda itu bukan datang dengan tujuan mahu meminta nasihat, maka Nabi Muhammad tidak menasihatinya apa-apa.

Contoh ayat nasihat:

* "Kamu jangan buat lagi kerja terkutuk itu."
* "Apa yang kamu lakukan itu, jangan sekali-kali kamu ulangi lagi."
* "Ingatlah Tuhan sentiasa melihat apa yang kamu lakukan, walaupun dalam gelap."
* "Kamu masih muda, jangan dekati perempuan, sebab kamu mudah tergoda dengan maksiat."
* "Nasib baik kamu tidak terlanjur, jika terlanjur kamu akan direjam."



Nabi Muhammad 'Menerangkan' bukan 'Menegur' Kesalahan

Apabila Nabi Muhammad memberi komen ke atas perbuatan yang salah, beliau menggunakan ayat penerangan. Beliau tidak menggunakan ayat teguran ataupun ayat larangan.

Ayat penerangan hanya menerangkan perbuatan yang betul ataupun yang salah. Kesalahan itu tidak dikaitkan dengan diri sesiapa. Manakala ayat teguran ditujukan kepada diri orang yang bersalah, oleh itu ia menggunakan perkataan 'kamu', dan ia menuduh diri orang yang ditegur itulah yang bersalah. Ayat larangan pula menggunakan perkataan 'jangan'.

Contoh ayat penerangan: Di dalam masjid tidak boleh berbual-bual hal dunia.
Contoh ayat teguran: Kenapa kamu berbual-bual hal dunia di dalam masjid?
Contoh ayat larangan: Jangan berbual-bual hal dunia di dalam masjid.

Dalam rekod-rekod sejarah, terdapat banyak catatan yang menunjukkan Nabi Muhammad tidak menegur orang-orang yang melakukan kesalahan.

Catatan sejarah di bawah ini menujukkan ayat penerangan yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila berlaku peristiwa orang kampung kencing dalam masjid.

Anas bin Malek melaporkan, pada suatu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi Muhammad. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut. Sebaliknya, Nabi Muhammad berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran.” Kemudian, Nabi Muhammad menyuruh salah seorang yang ada pergi mengambil air setimba, lalu disirami kecing itu. -
Hadith No. 186 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam peristiwa itu, kata-kata yang Nabi Muhammad gunakan bagi memberitahu lelaki itu peraturan di dalam masjid adalah: “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran.”

Ciri-ciri kata-kata Nabi Muhammad itu:

1. Nabi Muhammad tidak menyebut perkataan 'kamu' kepada pesalah kencing dengan berkata:

* "Kamu tidak boleh kencing di dalam masjid."
* "Kamu jangan kencing di dalam masjid."
* "Masjid bukan tempat kamu kencing."

Tanpa menyebut perkataan 'kamu', kata-kata Nabi Muhammad itu berbentuk umum, yakni boleh ditafsirkan ia ditujukan kepada semua orang yang ada di situ pada waktu itu.

Ayat yang menggunakan perkataan 'kamu' adalah ayat yang ditujukan kepada diri orang itu, ertinya teguran ditujukan kepada diri, bukan ditujukan kepada perbuatan. Ayat 'kamu' menjatuhkan maruah orang yang ditegur.

2. Nabi Muhammad tidak menasihati lelaki itu dengan berkata:

* "Lain kali kamu jangan kencing lagi di dalam masjid."
* "Ingat, ya. Masjid bukan tempat kencing."

3. Nabi tidak memberi amaran dengan berkata:

* "Kali ini saya maafkan, lain kali jangan diulang lagi."
* "Kalau kamu buat lagi, kamu basuh sendiri kencing kamu itu."

4. Nabi tidak memarahi dengan berkata:

* "Kamu pengotor!"
* "Takkanlah kamu tak tahu ini masjid, bukan tandas!"


Nabi Muhammad Tidak Mengizinkan Pedosa Berat Dikutuk

Dari satu segi, jenis-jenis kesalahan dapat dibahagikan ke dalam 2 kategori.

1. Kesalahan yang ada hukumannya di dunia, oleh itu kesalahan itu dibawa ke hadapan hakim. Contoh kesalahan dalam kategori ini adalah kesalahan meminum arak.

2. Kesalahan yang tiada hukumannya di dunia, oleh itu kesalahan tersebut tidak dibawa ke hadapan hakim.

Dalam rekod sejarah, terdapat catatan yang menunjukkan Nabi Muhammad tidak membenarkan orang yang sudah terbukti melakukan kesalahan berat minum arak sekalipun daripada dikritik dan dikutuk.

Kes 1:
Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'Himar' (keldai), seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad ketawa. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman rotan kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari, sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun merotan dia lagi. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” -- Hadith No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari.

Kes 2:
Abu Hurairah melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki peminum arak dibawah ke hadapan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata, “Pukul dia.” Abu Hurairah melaporkan lagi, sebahagian orang yang ada di situ memukul lelaki itu dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar, ada yang memukul dengan baju. Apabila seslesai, ada seseorang berkata, “Moga-moga Allah merendahkan kamu!” Mendengar kata-kata itu Nabi Muhammad berkata, “Jangan kata begitu, kerana saudara menolong syaitan menguasai dirinya.” -- Hadith No. 2159 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad melarang perbuatan mengutuk pedosa berat sekalipun, apatah lagi pedosa yang lebih ringan. Alasan yang diberikan oleh Nabi Muhammad adalah, apabila kita mengutuk seseorang sebenarnya kita menolong syaitan menguasai orang itu.

Apakah yang dapat kita fahami tentang kata-kata Nabi Muhammad "...
kita menolong syaitan mengusai orang itu."? Antara tafsiran yang dapat kita beri adalah orang itu akan membenci orang yang mengutuk, sedangkan si pengutuk itu adalah orang baik dan niatnya baik. Malah dia akan membenci orang-orang lain yang satu kelompok dengan si pengutuk. Sebagai contoh jika si pengutuk itu seorang ustaz, dia akan membenci semua golongan ustaz. Lebih serius lagi, dia mungkin bukan hanya membenci semua ustaz, malah dia mungkin membenci agama Islam. Dalam keadaan begitu, dengan mengutuk dia kita telah memberi kemenangan kepada syaitan.




Testimoni Cikgu Khairulaniza Khairuddin

Teknik Memuji-Muji

Hari ini saya ingin membicarakan tentang tindakan memuji seseorang. Kadang kala pujian yang ikhlas pun belum tentu memberi impak yang positif. Kemungkinan teknik yang kita gunakan untuk memuji itu kurang tepat, misalnya:

Kata seorang suami kepada isterinya, “Kamu cantik!”

Kata-kata di atas merupakan pujian kepada orangnya (iaitu isteri). Apabila suami membuat pujian yang salah, kemungkinan isteri mendapat persepsi yang salah.

Sangka isteri, “Suamiku menyayangiku kerana kecantikanku.”

Kemungkinan impaknya, si isteri mungkin berasa ujud atau mungkin riyak. Ataupun si isteri akan sentiasa cuba menjaga kecantikannya dan sanggup berhabis duit untuk khidmat kecantikan atau pembelian alat mekap dan sebagainya. Semua itu demi memastikan suami sentiasa menyayangi dirinya.

Dalam hal ini, disarankan agar seseorang suami mengikut teknik nabi dalam memuji seseorang, misalnya memuji prestasi / tingkah laku isteri yang baik seperti, “Masakan sayang memang sedap.”

Mengikut teknik Nabi Muhammad, yang dipuji bukan orangnya tetapi hasil kerjanya.

Disebabkan sekolah belum dibuka, saya mencuba teknik pujian ini kepada anak lelaki saya yang saya panggil abang. Izz berumur 8 tahun. Alkisahnya...

Malam semalam, Izz menunjukkan gambar orang yang dilukisnya. Izz belum pernah melukis orang ,lalu saya berkata, “Ibu kagum dengan hasil kerja abang. Kalau abang selalu berlatih melukis, pasti abang akan dapat melukis dengan lebih baik dan menjadi pelukis hebat pada masa akan datang.” Ketika itu, suami saya juga ada bersama. Jawab Izz sambil tersenyum, “Abang tidak mahu menjadi pelukislah, ibu.”

Saya terlupa bahawa Izz mahu menjadi saintis. Serta-merta saya menjawab, “Tidak mengapa. Abang boleh menjadi saintis yang pandai melukis.”

Kemudian, menyedari bahawa lukisan Izz tidak diwarnakan, saya berkata kepadanya, “Abang, adalah lebih baik andai lukisan ini abang warnakan. Lukisan ini akan nampak lebih cantik.”

Kata suami saya kepada Izz, “ Lelaki yang kuat sepatutnya ada otot-otot di lengannya.” Suami saya merujuk kepada lukisan Izz. (Lelaki dalam lukisan Izz dikatakannya ada ‘super power’)

Sambung saya, “Andai abang lukis lukis lelaki ini dengan lengan berotot, kesannya lebih hebat kerana lelaki ini akan nampak lebih kuat.”

Prinsip 1: Pujian hendaklah dibuat sebaik sahaja tingkah laku positif dibuat.
Jadi, apabila Izz menunjukkan gambar orang yang dilukisnya, saya terus memujinya.

Kebaikan membuat pujian sebaik sahaja tingkah laku positif dibuat:
a) supaya kita tidak lupa kepada tingkah laku positif itu
b) supaya tingkah laku itu diulang
c) supaya orang yang mendengar tidak lupa
d) supaya dapat meninggikan maruah @self esteem pelaku

Prinsip 2 : Apabila kita lihat membuat sesuatu yang baik tanpa disuruh, kita harus memujinya dengan kata-kata, “ Saya kagum dengan kerja kamu.”
Apabila Izz menunjukkan gambar orang yang dilukisnya, “ Ibu kagum dengan hasil kerja abang.”

Prinsip 3 :
Apabila perbuatan yang baik dibuat di hadapan orang besar/ secara terbuka, pujian juga harus diberikan di hadapan orang besar/terbuka. Dalam hal ini, Izz telah menunjukkan lukisannya kepada saya di hadapan ayahnya. Saya telah memuji Izz di hadapan ayahnya (orang besar)

Prinsip 4 :
Puji tindakan/perbuatan @ action + sebutkan impaknya

“Ibu kagum dengan hasil kerja abang. Kalau abang selalu berlatih melukis, pasti abang akan dapat melukis dengan lebih baik dan menjadi pelukis hebat pada masa akan datang.”

Hati-hati menyebut impaknya kerana dalam hal berkaitan Izz, anak saya tidak bercita-cita menjadi pelukis. Jadi, kesilapan saya ialah saya menyebut impak yang kurang tepat.

Sebab itu cepat-cepat saya respon, “Tidak mengapa. Abang boleh menjadi saintis yang pandai melukis.”

Sebut pasal impak ini, sebenarnya, ada tiga impak yang saya nyatakan kepada Izz iaitu :

1) Kalau abang selalu berlatih melukis, pasti abang akan dapat melukis dengan lebih baik dan menjadi pelukis hebat pada masa akan datang.
2) “Abang, adalah lebih baik andai lukisan ini abang warnakan. Lukisan ini akan nampak lebih cantik.”
3) “Andai abang lukis lelaki ini dengan lengan berotot, kesannya lebih hebat kerana lelaki ini akan nampak lebih kuat.”

Dalam hal ini, melalui pujian menggunakan teknik Nabi Muhammad, saya telah berjaya (berbunga-bunga hati saya) mendorong Izz (bukan menyuruh) untuk membuat banyak latihan melukis, mewarnakan lukisannya dan melukis secara lebih realistik d (lelaki berotot)

Inilah HASILnya. (rujuk blog)

Pagi ini, ketika bangun pagi, saya melihat lukisan Izz sudah diwarnakan.
* Saya sudah tidur ketika lukisan ini diwarnakan.

Ini lukisan kedua yang dihasilkan Izz. (rujuk blog)
Saya telah mendorong Izz supaya melukis lagi.

Kata-kata saya, “Kalau abang selalu berlatih melukis...”

Dalam lukisan ini, lihat juga lengan lelaki yang dilukis Izz .Lengan lelaki itu ada berotot (rujuk blog)

Kata-kata saya, “Andai abang lukis lelaki ini dengan lengan berotot...”

Izz telah membuat penambahbaikan pada lukisan keduanya tanpa disuruh berbuat demikian.

** Saya sudah tidur ketika Izz membuat lukisan kedua. Saya pasti Izz sudah penat dan tidak sempat mewarnakan lukisannya itu.

Puan Khairulaniza Khairuddin



Testimoni Ustazah Siti Khadijah Abd. Ghaffar

PAGI Rabu itu saya hadir ke Pusat Islam UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur dengan perasaan sedikit gementar. Berbekal selawat dan surah Insyirah kaki melangkah masuk ke kawasan masjid UTM yang tersergam indah. Sudah lama tidak mengajar, apalagi terlibat dengan aktiviti seperti ini memang mengundang gugup dan sedikit resah di hati. Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu.

Setelah melapor diri kepada pegawai Pusat Islam, saya dibawa masuk bertemu peserta-peserta Kem Generasi Qurani (Gen_Q 11) dan juga barisan fasilitator yang lain. Selesai bertaaruf ringkas, saya memilih untuk duduk di belakang barisan peserta yang telah diatur duduk dalam kumpulan masing-masing. Saat itu, slot pagi sedang dikendalikan oleh salah seorang pegawai Pusat Islam UTM. Menurut seorang fasilitator yang ada, aktiviti pagi yang bermula jam 8.30-9.30 merupakan slot wajib yang akan dikendalikan oleh pegawai Pusat Islam UTM.

Satu jam masa yang diperuntukkan untuk slot pertama pagi itu, saya hanya menjadi pemerhati. Pemerhatian menurut saya amat perlu untuk memudahkan kita berbahasa dan berusaha menunaikan amanah mengikut tahap keperluan seseorang. Itulah juga yang banyak dilakukan Nabi saw kepada para sahabat dan masyarakat sekelilingnya.

Satu jam berlalu. Sepanjang tempoh itu, saya perhatikan ada segelintir peserta yang tidak berminat dan tidak menumpukan perhatian terhadap apa yang sedang disampaikan oleh pegawai Pusat Islam tersebut. Pandangan saya jatuh pada beberapa orang peserta lelaki yang berada di saf lelaki. Mereka bermain dan bergurau sesama mereka tanpa segan silu. Beberapa kali dimarahi dan dihukum pegawai tersebut, masih juga tidak menampakkan tanda mahu berubah. Terdetik juga di hati saya, apakah mereka ini pelajar yang nakal? Namun melabel atau menghukum mereka dengan gelaran itu adalah tidak adil sebelum terbukti kenakalan mereka.

Jam menunjukkan pukul 9.45 pagi. Sebaik selesai sarapan pagi, semua peserta diserahkan kepada fasilitator masing-masing untuk kelas hafazan al-Quran. Setelah diperjelaskan oleh pegawai tentang modul dan matlamat untuk slot kedua ini, saya masuk ke kelas. Masa untuk slot kedua tamat dengan baik meskipun ada beberapa orang pelajar mengantuk dan tidak menumpukan perhatian sepenuhnya.

11.30 pagi adalah slot ceramah. Fasilitator terpilih akan ditugaskan menjadi penceramah untuk tajuk tertentu. Hari itu, penceramah yang bertanggungjawab adalah seorang fasilitator lelaki. Beliau akan menghuraikan tajuk ‘Cinta Rasul’. Seperti pagi tadi, permulaan slot bermula dengan agak baik. Saya masih memilih untuk tetap menjadi pemerhati. Selain mahu menilai minat dan tahap peserta, saya juga perlu melihat cara dan gaya penyampaian fasilitator untuk memahami konsep kem yang sedang dijalankan.

Namun apa yang memeranjatkan ketika ceramah masih berlangsung, majoriti peserta bukan sahaja tidak fokus, pelajar yang bergurau dan bermain pagi tadi berlari mengekori dan menarik-narik baju fasilitator tersebut kerana mahukan gula-gula. Situasi ini mebuatkan suasana tidak terkawal. Daripada dua, tiga orang pelajar yang membuat perangai, bertambah menjadi jumlah yang lebih besar. Fasilitator atau ustaz yang ada cuba meleraikan, masih juga tiada perubahan.

Saya dapati, di kalangan peserta yang membuat perangai itu, ada seorang pelajar yang amat aktif atau istilah bahasa kurang baiknya ‘nakal’. Sekiranya fasilitator sedang berceramah, dia merupakan orang yang berani bermain, bercakap dan berlari ke sana ke mari sesuka hatinya. Ketika peserta diletakkan di dalam LDK (latihan dalam kumpulan), dia akan keluar kumpulan dan mengganggu peserta-peserta kumpulan lain.

“Saya pegang kumpulan pelajar tahap bawah, faham-faham sahajalah. Mereka itu nakalnya membuatkan saya rasa mahu lempang-lempang sahaja. Geram sugguh. Paling nakal pelajar yang bernama Fadzil. Saya cakap bukan dia dengar. Berlari ke sana kemari, ganggu kawan-kawannya yang lain. Tetapi kalau sebut tentang hafalan Al-Qurannya, dia seorang yang cepat menghafal.”

Saya kemaskan ingatan dengan memasukkan ayat positif terakhir luahan seorang fasilitator untuk mencari kunci mendekati pelajar yang bernama Fadzil tersebut. Memang saya akui, setelah hampir seminggu menjalankan amanah di Pusat Islam UTM itu, kenakalan peserta kem kadangkala menguji iman dan kesabaran. Dengan perangai peserta yang bising, panjat tembok masjid, bermain, berlari di dalam masjid (lebih-lebih lagi ketika ada jemaah luar) dan sebagainya benar-benar melatih diri agar lebih sabar. Namun di kalangan ‘kenakalan’ peserta-peserta, tiada pelajar yang mampu menandingi ‘kehebatan’ peserta yang bernama Fadzil tersebut.

Tengahari itu, kami berkongsi perkembangan pelajar yang diletakkan di bawah jagaan masing-masing. Boleh dikatakan, hampir semua fasilitator lelaki meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap kanakalan peserta.

Sebagai seorang yang lebih tua, saya turut membuka mulut berkongsi pandangan, “Apabila kita melihat mereka, lihatlah mereka sebagai sebahagian daripada kita. Begitulah konsep dakwah yang diajarkan oleh baginda Nabi saw. Di dalam dakwah apabila kita melihat sesuatu, kita tidak boleh mengatakan, ‘Itu bukan kerja saya. Itu kerja ustaz dan ustazah’. Begitulah juga dengan peserta-peserta kem ini. Anggaplah mereka adik-adik dan anak-anak kita, jadikan mereka sebahagian daripada kita. Inshaallah saya yakin, mereka akan boleh menerima setiap teguran kita. Mari kita ikut cara Nabi Muhammad saw, baginda merupakan manusia yang paling banyak menghadapi masalah. Tetapi baginda tidak pernah sebut ‘masalah’. Kerana sebutan masalah itu merupakan satu doa, apabila berulangkali disebut, memang akan membuatkan kita bermasalah”

Kekuatan dan nasihat itu saya peroleh ketika berpeluang mengikuti kursus Mendorong Pelajar Kelas Corot anjuran Tim Hadith Psikilogi di hotel De Palma, Ampang pada 17 Disember yang lalu.

Tengahari itu juga, saya dipanggil oleh ketua pegawai program Gen_Q 11. Beliau memberikan amanah untuk saya menjadi penceramah pada keesokan hari. Tajuk yang diberikan adalah ‘Kelebihan Berzikir’. Saya menerima taklifan tersebut dengan hati yang cukup tenang, alhamdulillah. Dalam kepala, saya sudah merancang mahu menggunakan teknik Nabi Muhammad saw dalam mendorong pelajar corot. Corot yang dimaksudkan di sini, bukanlah corot dari segi akademiknya sahaja, tetapi juga akhlak dan peribadi seseorang. Wajah Fadzil terbayang. ‘Wahai Tuhan yang sangat penyayang, permudahkanlah.’

Sebelum semua peserta dibenarkan pulang petang hari itu, berlaku satu kemalangan yang agak mencemaskan. Seorang pelajar lelaki kakinya terseliuh kerana dihempap besi penghadang solat di ruangan wanita. Setelah diselidiki, ternyata pelajar yang bernama Fadzil tersebut turut terlibat dalam peristiwa ini.

Keesokan harinya ketika saya berdiri di hadapan barisan fasilitator dan hampir 100 orang peserta kem yang berumur 5-16 tahun, Fadzil masih nampak tidak mahu duduk diam. Saya melihat dia mengganggu kawannya dengan mengusik telinga dan beberapa bahagian anggota yang lain. Ketika melihat dia mahu berdiri, (mungkin mahu berlari) saya memanggil Fadzil.

“Ustazah perhatikan, kamu sangat suka berlari. Semalam Ustazah nampak kamu berlari dalam masjid ini. Ustazah sangat kagum dengan larian kamu yang sangat laju. Sekiranya kamu menyertai angkatan tentera Islam memerangi musuh, tentu pasukan kita akan menang.” Fadzil tersenyum-senyum mendengar pujian saya.

Saya menambah lagi, “Ustazah dengar, kamu memiliki kehebatan dalam menghafaz Al-Quran. Ustazah juga dengar daripada kakak kamu (Mawwaddah; kakak Fadzil merupakan peserta di bawah jagaan saya), kamu mahu menjadi juruterbang. Ustazah percaya dan yakin, kamu akan menjadi seorang juruterbang yang hebat dengan menghafal al-Quran.” Fadzil terus tersenyum sambil mengangguk-angguk. Dia akhirnya duduk kembali di dalam saf sehingga saya selesai memberi ceramah dalam keadaan yang sangat baik. Peserta lain juga memberikan sepenuh perhatian terhadap apa yang saya sampaikan.

Petang itu ketika menanti imam masjid UTM mengimami solat Asar, masih ada beberapa orang peserta bermain dan bergurau. Saya mencari kelibat Fadzil, dia saya perhatikan memegang kertas hafalan zikir sambil mulutnya terkumat kamit menghafal. Rakan-rakannya yang nakal juga sudah tidak berlari-lari dan bergurau lagi. Allahu akbar, hampir menitis airmata saya. Dalam hati saya berdoa, ‘Wahai Allah, berkatilah anak-anak ini. Jadikan dia hamba-Mu yang paling baik.’

Sekali lagi saya tidak mampu menahan airmata ketika para peserta kem mahu pulang. Sebagaimana kebiasaannya, peserta lelaki akan menyalami fasilitator lelaki atau ustaz-ustaz mereka. Begitulah sebaliknya, peserta perempuan akan menyalami fasilitator perempuan atau ustazah-ustazah mereka. Sebaik semua peserta perempuan selesai menyalami saya, Fadzil datang memanggil nama saya. Saya menoleh, beliau menghulur tangan mahu menyalami saya.

Memandangkan beliau baru berumur 9 tahun, saya rasa tiada salahnya saya menyantuni dia secara baik. Saya menyambut salam yang dihulur Fadzil. Tangan saya dicium Fadzil sambil berkata’ “Ustazah, terima kasih.” Keesokan harinya, ketika berada di dalam kelas hafazan, saya bertanyakan kakak Fadzil, bagaimana situasi Fadzil di rumah selepas dipuji semalam. Menurut Mawaddah, Fadzil merasa suka sekali apabila saya memujinya dengan berkata kepada keluarganya; “Tadi masa di kem, Ustazah Siti Khadijah puji. Saya berazam mahu menjadi seorang budak baik.”

Kisah di atas hanyalah merupakan satu contoh kejayaan daripada penggunaan teknik Nabi Muhammad saw yang diajarkan di dalam kursus tempohari. Saya telah menggunakan beberapa modul lembaran aktiviti untuk mendorong pelajar corot. Antara modul lembaran aktiviti yang telah saya praktikkan adalah hadith lembaran aktiviti 3 (Bila Pujian Patut Diucapkan), hadith lembaran aktiviti 5 (Memberi Peluang Semua Pelajar Angkat Tangan), dan lembaran aktiviti 8 (Menaikkan Self-Esteem dengan memberi gelaran kepada pelajar mengikut kesukaan mereka). Kesemua modul atau teknik yang saya cuba membuahkan hasil yang luar biasa. Puji dan syukur hanya untuk Allah. Modul lembaran aktiviti 3 ini paling membekas di hati saya.

Dalam analisis hadith lembaran aktiviti 3, Nabi Muhammad saw memuji seorang sahabat yang melakukan perkara yang tidak disuruh. Boleh baca di sini.

Dalam kisah ini, terdapat beberapa prinsip yang harus kita faham.

Prinsip 1: Pujian / penghargaan harus segera didahulukan daripada memberi ceramah

Saya segera memuji Fadzil sebelum menyelesaikan ceramah (ketika ceramah masih berlangsung).

Kebaikan memberi pujian sebaik sahaja tingkah laku positif dibuat adalah kerana:
- Supaya kita tidak lupa tingkah laku positif tersebut
- Supaya tingkah laku positif tersebut diulang-ulang
- Supaya orang yang mendengar tidak lupa
- Supaya dapat meninggikan maruah @ self esteem pelaku (kredit Puan Khairulaniza Khairuddin)

Prinsip 2: Apabila teknik dilakukan ditempat terbuka, kita harus puji secara terbuka
Dalam kisah ini, Fadzil berlari di dalam masjid, di hadapan peserta-peserta program dan fasilitator. Jadi, saya juga memujinya secara terbuka di hadapan para peserta program dan fasilitator.

Prinsip 3: Pujian diberikan kepada perbuatannya, bukan dirinya
Semalam Ustazah nampak kamu berlari dalam masjid ini. Ustazah sangat kagum dengan larian kamu yang sangat laju.”

Prinsip 4: Memuji satu orang, menyebabkan orang lain merasa termotivasi
Saya perhatikan Fadzil memegang kertas hafalan zikir, sambil mulutnya terkumat kamit menghafal. Rakan-rakannya yang nakal juga sudah tidak berlari-lari dan bergurau lagi.

Prinsip 5: Puji orang kecil di hadapan orang besar bagi menaikkan maruahnya
Saya memuji Fadzil di hadapan ustaz-ustaz dan ustazah-ustazahnya (orang besar)

Prinsip 6: Daya usaha sendiri, diberi dorongan / apabila kita lihat dia membuat sesuatu yang baik tanpa disuruh, kita harus memujinya dengan kata-kata, “ Saya kagum dengan kerja kamu.”
Dalam kisah ini, saya memuji dengan kata-kata, “Ustazah sangat kagum dengan larian kamu yang sangat laju.”

Prinsip 7: Puji perbuatan pelaku dengan menyebut impaknya (action+impak)
“Ustazah perhatikan, kamu sangat suka berlari. Semalam Ustazah nampak kamu berlari dalam masjid ini. Ustazah sangat kagum dengan larian kamu yang sangat laju. Sekiranya kamu menyertai angkatan tentera Islam memerangi musuh, tentu pasukan kita akan menang.”
“Ustazah dengar, kamu memiliki kehebatan dalam menghafaz Al-Quran. Ustazah juga dengar daripada kakak kamu,kamu mahu menjadi juruterbang. Ustazah percaya dan yakin, kamu akan menjadi seorang juruterbang yang hebat apabila menghafal al-Quran.” Ustazah percaya dan yakin, kamu akan menjadi seorang juruterbang yang hebat apabila menghafal al-Quran.”

Dengan menggunakan teknik Nabi Muhammad saw ini, saya telah berjaya mendorong Fadzil tanpa disuruh menjadi lebih baik. Hasilnya adalah,
- Sementara menantikan imam mengimami solat Asar, Fadzil duduk menghafal zikir
- Fadzil datang sendiri menyalam dan mencium tangan saya sambil mengucapkan ‘terima kasih’
- Di rumah, Fadzil berkata; “Tadi masa di kem, Ustazah Siti Khadijah puji. Saya berazam mahu menjadi seorang yang lebih baik.”

Inilah sedikit pengalaman saya daripada menggunakan teknik Nabi Muhammad saw mendorong pelajar corot. Terima kasih kepada Puan Ainon Mohd dan Tim Hadith Psikologi yang telah berusaha keras memperkenalkan pengajaran terbaik ini. Allah berkati kalian dengan pahala yang tidak kunjung putus. Terima kasih kepada suami yang mendesak saya hadiri kursus ini. Sesungguhnya benar setiap perlakuan, perbuatan dan kata-kata Nabi Muhammad saw mempunyai hikmah, pelajaran dan kebaikan yang tidak sedikit. Wallahu a’lam.

Puan Siti Khadijah Abd. Ghaffar



Nabi Muhammad Tidak Menyiasat Aduan

Dalam amalan lazim, apabila ada orang datang membuat aduan, kita cenderung bertanya nama orang yang menjadi punca aduan itu.

Namun Nabi Muhammad tidak bertanya nama orang yang dijadikan aduan itu, sebagaimana yang berlaku dalam catatan sejarah di bawah ini:

Abu Mas'ud melaporkan, pada suatu hari seorang lelaki datang berjumpa Nabi Muhammad lalu berkata, “Wahai Rasul Allah! Demi Allah, saya tidak pergi sembahyang subuh berjemaah kerana Si Fulan memanjang-manjangkan sembahyangnya semasa dia menjadi imam kami.” Menurut Abu Mas'ud, beliau belum pernah melihat Nabi Muhammad begitu marah semasa memberikan nasihat. Nabi Muhammad berkata, “Ada sesetengah orang dalam kalangan saudara-saudara yang menyebabkan sesetengah orang lain tidak suka melakukan perkara-perkara baik. Barang siapa dalam kalangan saudara-saudara yang menjadi imam sembahyang, pendekkanlah, sebab antara mereka ada yang lemah, sakit, dan ada pula yang mempunyai urusan mendesak.” --
Hadith No. 417 dalam kitab Ringkasan Sahih Bukhari

Dalam peristiwa di atas, orang yang mengadu tidak menyebutkan nama orang yang diadukan, manakala Nabi Muhammad pula tidak melakukan perkara-perkara seperti di bawah:

1. Tidak bertanya siapa nama orang yang menjadi isu aduan itu, dengan berkata, "Beritahu saya siapa yang kamu maksudkan itu?"

2. Tidak menyuruh supaya orang yang diadukan itu dipanggil dengan berkata, "Panggil dia ke mari, biar saya tanya sendiri mengapa dia memanjang-manjangkan sembahyang."

3.
Tidak menyiasat apakah aduan itu benar ataupun palsu, yakni tidak bertanya kepada orang-orang lain apakah aduan itu benar dan mereka sendiri menjadi saksi dengan berkata, "Betulkah dia suka memanjang-manjangkan sembahyangnya? Ada sesiapa di sini yang boleh jadi saksi?"

4. Tidak memberitahu orang yang diadukan itu bahawa apa yang dilakukannya itu salah dengan berkata, "Nanti apabila saya jumpa dia saya akan beritahu dia apa yang dilakukannya itu salah."

Apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad adalah memberitahu orang-orang lain yang ada di situ pada waktu itu bahawa:

a. Ada jenis-jenis perbuatan yang menyebabkan orang tidak mahu melakukan perkara-perkara baik.
b. Imam sembahyang hendaklah memendekkan tempoh sembayang.
c. Sembahyang hendaklah pendek sebab ada orang yang lemah, sakit dan ada urusan penting.



Kepada Orang Jahil Nabi Muhammad Tidak Menyebut 'Allah' sebagai Sumber Undang-Undang yang Mereka Langgar

Dalam mengkaji rekod-rekod sejarah yang di dalamnya terkandung teknik-teknik bagaimana Nabi Muhammad mendorong perubahan tingkah laku, salah satu aspek yang menarik dianalisis adalah perkataan-perkataan yang beliau gunakan ataupun tidak gunakan.

Sebagai contoh, kajian dapat dilakukan tentang kes di mana Nabi Muhammad tidak menggunakan perkataan 'Allah' seperti dalam dua catatan di bawah ini:

Kes 1: Anas bin Malek melaporkan, pada suatu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi Muhammad. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut. Sebaliknya, Nabi Muhammad berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran.” Kemudian, Nabi Muhammad menyuruh salah seorang yang ada pergi mengambil air setimba, lalu disirami kecing itu. -
Hadith No. 186 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam peristiwa di atas, semasa memberitahu kepada si pesalah perkara-perkara yang dilarang dilakukan di dalam masjid Nabi Muhammad tidak menyebut nama Allah sebagai sumber yang mengeluarkan undang-undang tidak boleh kencing di dalam masjid.

Nabi Muhammad hanya berkata, "
“Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran...."

Dalam peristiwa di bawah ini pula, pesalah tidak tahu bahawa arak adalah haram. Semasa menerangkan perkara itu kepada pesalah Nabi Muhammad juga tidak menyebut nama Allah sebagai sumber undang-undang yang mengharamkan arak. Beliau hanya menyebut 'Dia' bagi menggantikan 'Allah'.

Kes 2: Ibnu Abbas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan menghadiahkan kepada Nabi Muhammad sebekas arak. Nabi Muhammad bertanya kepada lelaki itu, “Adakah saudara tahu bahawa Allah sudah mengharamkannya?” Lelaki itu menjawab, “Tidak.” Kemudian lelaki itu berbisik-bisik dengan orang yang di tepinya. Nabi Muhammad bertanya kepada lelaki itu, “Apakah yang saudara bisikkan kepadanya?” Lelaki itu menjawab, “Saya suruh dia menjualkannya sahaja.” Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Sesungguhnya Dia yang mengharamkan meminumnya, Dia mengharamkan menjualnya." Kemudian lelaki itu membuka penutup bekas araknya, lalu dituangkan isinya sampai habis sama sekali. -- Hadith No. 930 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam kes ke-2 di atas, dua orang pesalah itu tidak tahu bahawa arak sudah diharamkan.


Dalam kedua-dua peristiwa itu, mereka yang bersalah itu adalah orang-orang yang tidak mengetahui bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah dalam undang-undang agama, yakni orang yang 'jahil' dalam perkara di mana mereka telah bersalah.

Kepada orang yang mahu memberi arak, Nabi Muhammad berkata,
"Sesungguhnya Dia yang mengharamkan meminumnya, Dia mengharamkan menjualnya."

Dalam amalan lazim, apabila ada orang melakukan kesalahan, baik orang itu jahil ataupun tidak, kita akan memberirahu bahawa apa yang telah mereka langgar itu adalah hukum Allah. Namun dalam 2 hadith di atas, hal sedemkian tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad.


Nabi Muhammad Tidak Menegur Kesalahan, Hanya Menunjukkan Apa yang Betul

Dalam amalan lazim, kita cenderung menegur perbuatan yang salah, khususnya apabila ada orang yang mengatakan sesuatu yang haram disebut, contohnya mengutuk orang ataupun mendoakan orang lain supaya binasa.

Kita percaya kesalahan wajib ditegur kerana jika orang itu tidak ditegur dia akan terus melakukan kesalahannya.

Namun, dalam rekod sejarah terdapat banyak catatan yang menunjukkan Nabi Muhammad tidak menegur perbuatan yang salah. Catatan di bawah ini adalah salah satu daripadanya:


Abu Hurairah melaporkan, pada suatu hari Thufail bin Amr al-Dawsi dan beberapa orang rakan-rakannya daang berjumpa Nabi Muhammad. Thufai berkata, “Wahai Rasul Allah, orang-orang suku Daus tidak mahu ikut tuan. Mohonlah supaya Allah binasakan mereka.” Orang-orang yang ada di situ ketika itu berkata, “Binasalah suku Daus!” Nabi Muhammad berkata, “Ya Allah, berilah suku Daus pentunjuk, dan bukalah hati mereka supaya masuk Islam.” Hadith No. 1265 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari

Dalam peristiwa di atas orang-orang itu melakukan kesalahan apabila mereka berkata,
“Binasalah suku Daus!”

Mendengar kata-kata itu Nabi Muhammad diam sahaja, tidak menegur mereka. Sebagai contoh, Nabi Muhammad tidak berkata:

* "Kamu tidak boleh cakap macam itu!"
* "Jangan cakap begitu."
* "Kamu tidak boleh mendoakan orang lain binasa."
* "Jangan doakan orang lain ditimpa bala."
* "Haram! Haram! Apa yang kamu sebut itu haram!"

Sebaliknya, Nabi Muhammad hanya menunjukkan apa yang betul dengan berkata,
“Ya Allah, berilah suku Daus pentunjuk, dan bukalah hati mereka supaya masuk Islam.”

.

Nabi Muhammad Tidak Menyuruh Pesalah Membetulkan Kesalahannya

Dalam rekod sejarah, terdapat banyak catatan yang menunjukkan teknik-teknik Nabi Muhammad mendorong orang yang melakukan kesalahan supaya berhenti melakukan kesalahannya.

Di bawah ini adalah catatan bagaimana Nabi Muhammad mendorong seorang yang melakukan kesalahan kencing di dalam masjid supaya tidak mengulangi kesalahannya.

Anas bin Malek melaporkan, pada suatu masa dia dan orang-orang lelaki lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi Muhammad. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki Arab dari kampung ke dalam masjid, lalu lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-sahabat Nabi yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut. Sebaliknya, Nabi Muhammad berkata, “Jangan buat dia terhenti kencingnya. Biarkan sahaja.” Lalu semua yang ada membiarkan sahaja orang kampung itu menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi Muhammad memanggil lelaki itu dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing ataupun membuang sedikit pun kotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir mengingati Allah Azza wajalla, bersembahyang, dan membaca Quran.” Kemudian, Nabi Muhammad menyuruh salah seorang yang ada pergi mengambil air setimba, lalu disirami kecing itu. -
Hadith No. 186 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Lazimnya, kita arahkan orang yang melakukan kesalahan supaya dia sendiri yang membetulkan kesalahannya, yakni siapa yang buat salah dialah yang mesti membetulkan kesalahannya.

Dalam peristiwa di atas, kesalahan yang dilakukan oleh si pesalah adalah kesalahan yang serius sebab ia dilakukan di dalam masjid. Tetapi, Nabi Muhammad tidak menyuruh supaya orang yang melakukan kesalahan itu dia juga yang membetulkan kesalahannya.

Perbuatan kencing itu tidak salah, yang salah adalah tempat di mana dia kencing. Dalam kes ini orang lain yang kecing, orang lain yang disuruh oleh Nabi Muhammad supaya pergi mengambil air dan membasuh kencing orang itu.


Nabi Muhammad Mengubah Tingkah Laku Peniaga Arak

Nabi Muhammad adalah seorang pendorong perubahan tingkah laku yang sangat berkesan. dengan mengucapkan sedikit kata-kata sahaja, beliau dapat mengubah tingkah laku orang.

Dalam amalan lazim, orang-orang bisnes dalam industri maksiat adalah golongan yang paling sukar didorong supaya mengubah tingkah laku mereka, apatah lagi jika mereka didorong supaya memberhentikan bisnes maksiat mereka itu.

Namun dalam peristiwa di bawah, Nabi Muhammad dapat mengubah tingkah laku dua orang pedagang arak dengan hanya mengucapkan beberapa patah perkataan.

Ibnu Abbas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan menghadiahkan kepada Nabi Muhammad sebekas arak. Nabi Muhammad bertanya kepada lelaki itu, “Adakah saudara tahu bahawa Allah sudah mengharamkannya?” Lelaki itu menjawab, “Tidak.” Kemudian lelaki itu berbisik-bisik dengan orang yang di tepinya. Nabi Muhammad bertanya kepada lelaki itu, “Apakah yang saudara bisikkan kepadanya?” Lelaki itu menjawab, “Saya suruh dia menjualkannya sahaja.” Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Sesungguhnya Dia yang mengharamkan meminumnya, Dia mengharamkan menjualnya." Kemudian lelaki itu membuka penutup bekas araknya, lalu dituangkan isinya sampai habis sama sekali. --
Hadith No. 930 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad tidak mengucapkan kata-kata yang menjatuhkan maruah dua orang peniaga arak itu.

Beliau juga tidak menerangkan dengan panjang lebar mengapa arak diharamkan.

Nota: Ada suatu aspek dalam bahasa yang Nabi Muhammad gunakan semasa bercakap dengan pedagang arak itu di mana beliau merujuk Allah dengan menggunakan kata gantinama 'Dia'.


Sebagai komunikator: Nabi Muhammad Tidak Bersangka Buruk

Lazimnya, kita cenderung cuba mentafsirkan mengapa seseorang itu bertanya soalan itu dan soalan ini. Kita percaya di sebalik pertanyaannya itu ada perkara lain yang mendorong dia bertanya soalan demikian. Tingkah laku kita itu disebut 'mind-reading'. Apabila kita mengucapkan kata-kata yang terhasil oleh mind-reading yang berdasarkan buruk sangka, maka hukumnya berdosa.

Dalam rekod sejarah, banyak catatan yang menunjukkan prinsip-prinsip komunikasi Nabi Muhammad berkenaan mind-reading:

1. Nabi Muhammad menjawab pertanyaan berdasarkan struktur permukaan, yakni betul-betul menjawab apa yang zahirnya dipertanyakan, yakni tidak cuba mentafsir apa di sebaliknya pertanyaan.

2. Beliau tidak mengucapkan kata-kata berdasarkan buruk sangka, yakni tidak melakukan kesalahan mind-reading.

Pada suatu hari, ada seorang remaja lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian remaja itu pergi. Kemudian Nabi Muhammad menyuruh orang supaya memanggilnya supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada remaja itu ayat Quran ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang kebetulan berada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, adakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud

Dalam peristiwa itu
ada seorang lelaki lain yang kebetulan berada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, adakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.”

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad tidak berkata kepada lelaku itu:

* "Mengapa kamu bertanya begitu? Adakah kamu juga pernah bercumbu-cumbu dengan perempuan bukan isteri kamu?"

* "Kamu pun pernah melakukan dosa yang sama?"

* "Kamu bertanya begitu, kamu ada apa-apakah?...."

* "Mengapa? Kamu pun buat juga?"

* "Kenapa kamu mahu tahu? Jangan-jangan kamu ada apa-apa...."

Lazimnya, kita akan mengesyaki lelaki itu bertanya disebabkan kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad ada kait mengait dengan dirinya sendiri, yakni kita akan mengesyaki bahawa dia mungkin pernah melakukan kesalahan yang serupa dengan pemuda yang bercumbu itu.



.

Nabi Muhammad Memberi Hadiah kepada Orang Bersalah

Dalam rekod-rekod sejarah terdapat banyak catatan berkenaan bagaimana Nabi Muhammad melayan orang-orang yang melakukan kesalahan.

Lazimnya ketua-ketua bersikap tegas dan keras kepada orang-orang bawahannya yang melanggar peraturan dan melakukan kesalahan. Ini lebih-lebih lagi apabila si pesalah itu melanggar peraturan yang diketahuinya, yakni dia tahu hal itu salah tetapi dilakukan juga.

Dalam salah satu catatan itu, terdapat peristiwa di mana Nabi Muhammad melayan si pesalah dengan cara yang sangat lembut dan bertimbang rasa, malah beliau memberi hadiah kepada si pesalah.


Pada suatu hari ada seorang lelaki datang berjumpa Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, "Malang sungguh nasibku, wahai Rasul Allah." Nabi Muhammad bertanya, "Apa yang menyebabkan saudara ditimpa malang?" Lelaki itu menjawab, "Dalam bulan Ramadhan, siang tadi, saya telah melakukan seks dengan isteri saya." Nabi Muhammad bertanya, "Mampukah saudara membebaskan seorang hamba?" Lelaki itu menjawab, "Tidak." Nabi Muhammad bertanya lagi, "Sanggupkah saudara berpuasa 2 bulan berturut-turut hari?" Lelaki itu menjawab, "Tidak." Nabi Muhammad bertanya lagi, "Mampukah saudara memberi makan 60 orang miskin?" Lelaki itu menjawab, "Tidak." Lelaki yang tadinya berdiri, kemudian dia duduk. Pada saat itu ada pula orang memberi sebakul buah kurma kepada Nabi Muhammad. Kemudian Nabi Muhammad berkata kepada lelaki itu, "Bersedekahlah dengan menggunakan kurma ini." Lelaki itu berkata, "Adakah mana-mana orang lain yang lebih miskin daripada kami? Di sekitar ini, tidak ada sesiapa yang lebih memerlukan daripada kami." Mendengar kata-kata lelaki itu, Nabi Muhammad tersenyum lebar sehingga gigi taringnya dapat dilihat. Akhirnya beliau berkata kepada lelaki itu, "Saudara baliklah. Berilah keluarga saudara makan dengan kurma ini." - Hadith No. 589 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad memberi hadiah sebakul buah kurma kepada si pesalah.
Nabi memberikan kurma itu sebagai hadiah kepada lelaki itu supaya dia dapat menggunakan kurma itu bagi menebus dosanya, di mana dia dapat memberi makan kepada 60 orang miskin. Kemudian lelaki itu memberitahu Nabi bahawa dirinya adalah orang yang paling miskin. Kemudian barulah Nabi memberitahu supaya dia ambil kurma itu untuk diri dan keluarganya sendiri.


Kelemahan Prosedur Kaunseling Cara Barat

Nabi Muhammad adalah seorang kaunselor. Apabila beliau memberi kaunseling kepada orang yang melakukan kesalahan, beliau tidak menyiasat punca-punca yang mendorong si pesalah melakukan kesalahannya. Sebagai contoh, kepada pencuri Nabi Muhammad tidak berkata: "Cuba kamu ceritakan kepada saya, mengapa kamu mencuri?"

Dalam rekod sejarah, ada dicatatkan peristiwa bagaimana Nabi Muhammad memberi kaunseling kepada seorang pesalah:

Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - Hadith ini dipetik dari koleksi hadith-hadith autentik yang direkodkan oleh Abu Daud.

Teknik kaunseling Nabi Muhammad itu sangat bertentangan dengan kaunseling cara Barat yang menghendaki supaya kaunselor menyiasat dahulu punca-punca si pesalah melakukan kesalahanya. Selepas selesai siasatan barulah kaunselor boleh memulakan proses rawatan.

Di sebalik amalan Barat menyiasat punca-punca kesalahan dilakukan adalah andaian:

a. Bahawa kaunselor dapat mengenalpasti dengan tepat punca-punca si pesalah melakukan kesalahannya.

Andaian ini tidak betul. Memang ada masalah yang dapat diketahui punca-punca yang menyebabkannya, tetapi bagi sesetengah masalah kita tidak dapat mengenalpasti dengan tepat puncanya. Sebagai contoh, dalam bidang perubatan, banyak penyakit yang sehingga sekarang pakar-pakar perubatan masih belum dapat mengetahui apa yang menyebabkan penyakit itu.

Dalam bidang akhlak, ada banyak masalah akhlak yang pakar-pakar psikologi Barat pun masih belum sepakat berkenaan punca-punca yang menyebabkannya. Sebagai contoh adalah tingkah laku anggota keluarga hartawan yang mencuri barang-barang murah di dalam kedai. Pakar-pakar di Barat masih berbeza pendapat, masing-masing dengan teori masing-masing.

b. Bahawa si pesalah bercakap benar semasa memberikan jawapan kepada pertanyaan kaunselor.

Andaian ini tidak betul. Memang ada pesalah yang bercakap benar, tetapi majoriti pesalah tidak bercakap benar. Apabila ditanya oleh kaunselor, mereka memberi jawapan-jawapan dusta. Mereka berdusta bagi menjaga kepentingan diri mereka sendiri, khususnya bagi menunjukkan mereka kononnya adalah orang baik, dan bahawa mereka melakukan kesalahan itu kerana mereka menjadi mangsa perbuatan buruk orang-orang lain.

c. Bahawa hanya selepas diketahui punca-punca yang menyebabkan si pesalah melakukan kesalahannya barulah kaunselor dapat memberikan penyelesaiannya.

Andaian ini tidak betul. Memang ada jenis masalah yang dapat dibuang punca penyebabnya. Sebagai contoh, tayar kempis disebabkan tercucuk paku, lalu cara menyelesaikannya adalah dengan membuang paku itu dan menutup lubangnya. Ataupun, kanak-kanak suka menonton rancangan kartun dalam televisyen sehingga tidak membaca buku sekolah, lalu televisyen itu pun dibuang dengan itu tidak ada lagi televisyen yang mahu ditonton.

Tidak semua punca masalah dapat diselesaikan dengan cara membuang punca-punca itu, ini lebih-lebih lagi dalam bidang tingkah laku manusia. Banyak masalah akhlak manusia sudah pun diketahui punca-punca penyebabnya, namun punca-punca itu tidak dapat dibuang kerana ia adalah fitrah manusia. Sebagai contoh, kes tingkah laku kumpulan remaja yang mencari keseronokan dengan bersaing siapa yang lebih cekap mencuri barang di dalam kedai. Mereka melakukannya kerana mencari thrill. Tingkah laku mencari thrill adalah sebahagian daripada psikologi remaja. Ia adalah penyebab yang tidak dapat hendak dibuang, meskipun oleh pakar-pakar psikologi Barat.